HEADLINES

AGC tolak representasi Rizal Ghazali batal dakwaan pukul teman wanita

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk perbicaraan bekas pemain bola sepak kebangsaan

1:31 PM MYT

 

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rizal Ghazali untuk membatalkan dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel, tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes bagi keputusan representasi Rizal atau nama sebenarnya Mohd Rizal Mohd Ghazali, 32, di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Pihak pendakwaan telah mendapat arahan supaya pertuduhan diteruskan dengan perbicaraan dan pernyataan-pernyataan saksi akan dikemukakan… jadi saya memohon tarikh perbicaraan ditetapkan,” kata Siti Maryam Jamilah.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai ini untuk perbicaraan.

Rizal yang hadir bersama peguamnya, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof akan dibicarakan pada 1 Julai ini. – Gambar Bernama, 1 April, 2024

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili Mohd Rizal berkata, representasi itu telah dihantar kepada AGC pada 6 Februari lalu bagi membatalkan kedua-dua pertuduhan dihadapi Mohd Rizal.

Pada 19 Jun tahun lepas, bekas pemain bola sepak kebangsaan itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dengan memukulnya di bilik sebuah hotel di sini pada 6 pagi, 7 Jun 2023.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita itu yang nilai kerugian dianggarkan RM4,500 di lokasi serta pada tarikh dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 1 April, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related