Zayn Rayyan cari spageti pagi Aidilfitri, tak suka baju Melayu cekak musang: Datuk

Jika kebanyakan orang mencari rendang, ketupat dan lemang, berbeza pula dengan Zayn yang mahu menikmati spageti air tangan ibu dan neneknya di pagi raya

2:02 PM MYT

 

PETALING JAYA — Sambutan Aidilfitri kali ini tidak semeriah dan seceria seperti tahun sebelumnya buat keluarga Zahari Mohd Reba, 56, selepas pemergian cucu pertamanya, Zayn Rayyan Abdul Matiin Zaim Ikhwan pada 6 Disember tahun lalu.

Bercakap kepada Scoop, Zahari berkata, dia amat merindui momen indah sepanjang enam tahun bersama cucu kesayangannya itu, termasuk keletah manja Zayn setiap kali menyambut lebaran.

Menurut Zahari, jika kebanyakan orang mencari rendang, ketupat dan lemang, berbeza pula dengan Zayn yang mahu menikmati spageti air tangan ibu dan neneknya di pagi raya.

Gambar lebaran sekeluarga yang pernah dikongsikan oleh Zahari Mohd Reba di laman Facebooknya. Katanya, Zayn (dipangku Zahari, dua dari kiri) tidak suka memakai baju Melayu cekak musang – Gambar Facebook Zahari Mohd Reba, 10 April, 2024

“Dia suka makan spageti, tak kisahlah yang bolognese atau carbonara.

“Memang itu juadah yang akan disediakan khas oleh ibu dan neneknya setiap kali raya kerana ia makanan kegemarannya dan juga kuih semperit,” katanya.

Malah Zahari mendedahkan Zayn juga tidak suka memakai baju Melayu cekak musang.

“Baju Melayu dia memang semua jenis teluk belanga. Dia cepat rimas kalau pakai baju cekak musang dan berkolar,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Zahari berkata, ia sedikit berbeza kerana mereka sekeluarga akan menziarahi pusara Zayn terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman.

Zahari berkata, tahun ini sedikit berbeza kerana mereka sekeluarga akan menziarahi pusara Zayn terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halaman – Azim Rahman/Scoop, 10 April, 2024

“Raya tahun ini sudah tidak sama seperti tahun sebelum ini. Kalau dulu sebelum 1 Syawal kami semua sudah bertolak pulang ke kampung keluarga mentua saya di Pahang.

“Namun kali ini kami akan ziarah kubur Zayn dulu sebelum bertolak balik kampung,” katanya yang menjadikan rutin setiap pagi Sabtu dan Ahad menziarahi pusara Zayn di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara bersama ibu dan ayah kanak-kanak malang itu.

Berkongsi lanjut, Zahari berkata, dia kini dalam perancangan untuk menerbitkan buku biografi mengenai Zayn bagi mengabadikan kenangan bersama cucu kesayangannya itu.

Menurutnya, setakat ini 80 peratus kandungan buku itu sudah disiapkan, namun ia perlu ditapis terlebih dahulu oleh ibu bapa Zayn (Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari) sebelum diterbitkan.

Zahari berkata, dia kini dalam perancangan untuk menerbitkan buku biografi mengenai Zayn bagi mengabadikan kenangan bersama cucu kesayangannya itu – Azim Rahman/Scoop, 10 April, 2024

“Saya memang suka menulis dan sekarang tengah menulis buku biografi mengenai Zayn yang mana menceritakan kenangan sepanjang enam tahun kehidupannya.

“Saya menulis buku ini bukan untuk cari untung, sebaliknya sebagai kenangan untuk ahli keluarga dan saudara-mara bagi menghilangkan kerinduan mereka. Kalau mereka rindu boleh juga belek buku tersebut.

“Selepas siap semuanya, saya akan bagi ibu bapa Zayn baca dahulu, kalau mereka benarkan ia diterbitkan baharulah ia akan dihantar untuk tujuan percetakan (printing),” katanya.

Kisah kematian tragis Zayn mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia apabila dia ditemui mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu.

Kanak-kanak autisme itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 April, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related