Perantau Sabah, Sarawak sedih tak dapat pulang beraya, ‘harga tiket pesawat terlampau mahal’

Pernah tengok ada yang mencecah RM2,000 untuk tiket sehala sahaja

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Apalah ertinya sambutan Syawal jika tak dapat berkumpul bersama seisi keluarga.

Inilah yang dirasai penuntut semester akhir jurusan Kewartawanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Masni Baharuddin, 22, tatkala berjauhan daripada insan tersayang, pastinya kesayuan dan kesedihan cukup terasa.

Menurutnya, inilah kali pertama dia terpaksa meraikan lebaran tanpa keluarga disisi yang menetap di Tawau, Sabah.

Temu bual penuntut semester akhir jurusan Kewartawanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Masni Baharuddin dari Sabah yang tidak dapat pulang beraya tahun ini. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 10 April, 2024

Mengakui sedih kerana berseorangan di pagi Syawal di rumah sewanya di Mutiara Damansara, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia tetap kuat menempuh liku hidup sebagai perantau.

Masni yang kini menjalani latihan industri di Parlimen berkata, kekangan kewangan serta harga tiket kapal terbang yang mahal antara faktor utama dia tidak pulang beraya di Tawau pada tahun ini.

“Salah satunya adalah faktor kewangan dan sebab lain ialah tidak dapat bercuti panjang memandangkan saya sekarang melakukan latihan industri di Parlimen.

“Saya dapat cuti selama tiga hari. Jadi untuk balik ke Sabah dengan harga tiket beribu, tapi balik tiga hari sahaja, bagi saya tidak berbaloi. Jadi saya buat keputusan untuk tidak balik.

“Walaupun kerajaan dah letakkan had maksimum harga tiket ke Sabah dan Sarawak untuk perayaan Aidilfitri tidak melebihi RM600, tetapi bila check (periksa) ada syarikat penerbangan masih letak harga mahal.

“Sebelum ini, saya pernah tengok ada yang mencecah RM2,000 untuk tiket sehala sahaja!” katanya kepada Scoop.

Dalam nada sayu, Masni yang amat rapat dengan kedua ibu bapanya berkata, perkara yang paling dirinduinya pada pagi raya adalah untuk bersalaman memohon kemaafan bersama ahli keluarga serta merasai juadah air tangan ibu tercinta.

Mengenangkan perkara itu sahaja, ia sudah cukup membuatkan air mata Masni bergenang ketika ditemubual Scoop.

“Masa awal Ramadan tempoh hari saya telefon keluarga, beritahu tak dapat pulang beraya… memang rasa keseorangan tapi saya tak nak layan perasaan itu, nanti lagi sedih.

“Saya rindu nak masak buras, makanan tradisi orang Tawau iaitu beras pulut masak dengan santan. Ibu pun dah siap tujuh jenis kuih raya seperti kuih makmur, cip coklat dan semperit. Kalau saya di sana, memang saya antara orang yang akan ‘terjun’ dapur membantu.

“Itulah antara momen raya yang akan saya rindu. Nanti lepas raya kelima dapatlah saya lepas rindu makan kuih dan masakan air tangan ibu sebab kakak dan keluarganya dah balik ke Semenanjung selepas bercuti raya,” katanya.

Kenangan raya Didi Shahirah (dua kanan) bersama keluarga di Kuching, Sarawak tahun lalu. – Gambar ihsan Didi Shahirah, 10 April, 2024

Sementara itu, seorang lagi perantau kelahiran Kuching, Sarawak, Didi Shahirah Nohhi, 31, yang kini menetap di Rawang, Selangor bersama suami dan keluarga mentuanya mengakui mengamalkan sistem penggiliran balik kampung setiap kali menjelang Aidilfitri.

Setiap kali gilirannya pulang beraya di Sarawak, dia dan suami, Ahmad Shazwan Noor Aslan, 31, memperuntukkan RM4,000 untuk tambang pesawat keluarga mereka termasuk dua anak lelakinya, Ahmad Farel Rizqi Ahmad Shazwan, 5, dan Ahmad Faris Rayhan, 4.

Didi berkata, dia menyifatkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak tidak masuk akal dan terlampau mahal sehingga merencatkan sedikit ‘mood’ raya anak perantau.

“Saya mungkin bernasib baik bila tidak dapat beraya bersama keluarga, saya beraya bersama keluarga mentua di sini (Rawang). Tapi kasihan anak-anak perantau dari Sabah dan Sarawak yang mungkin tidak dapat pulang disebabkan kekangan kewangan.

“Saya pernah habiskan RM4,000 untuk tambang balik ke Kuching untuk empat orang termasuk dua anak saya. Bagi saya, kos tambang ke Borneo lebih mahal jika hendak dibandingkan kalau kita ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Kalau pergi Sarawak dah mahal, apatah lagi ke Sabah… padahal dalam Malaysia. Bagi saya, kenaikan harga mendadak terutama ketika musim perayaan memang agak melampaulah,” katanya.

Berkongsi lanjut, Didi yang juga kakitangan swasta berkata, dia sejujurnya lebih menyukai sambutan Aidilfitri di kampung halamannya berbanding di Semenanjung.

Menurutnya, ini kerana sudah menjadi tradisi orang Sarawak untuk beraya selama sebulan dan memakai baju tradisional hampir setiap hari dalam bulan Syawal bagi menyemarakkan sambutan raya.

“Bagi saya secara peribadi, raya di Sarawak lagi seronok sebab kami memang beraya sampai sebulan. Pakai baju kurung dari pagi sampai malam selama seminggu.

“Suasana itu tidak dapat dilihat di Semenanjung lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Kadang-kadang pakai baju Melayu, baju kurung sampai tengah hari sahaja, lepas itu tukar balik pakaian kasual.

“Selain itu, sudah pasti saya akan merindui kari ayam masakan air tangan ibu tersayang. Itulah momen yang akan saya rindui kalau tak dapat pulang beraya ke Sarawak,” katanya. – 10 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Casino a practical source of charity funds, no threat to faith, Tawfik Ismail tells Johor MB

Son of Tun Dr Ismail Abdul Rahman cites work of Noah Foundation using profits from Genting

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related