Afidavit Zahid atas kapasiti sebagai Presiden Umno, PM enggan terlibat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau juga tidak mahu terlibat dalam perbincangan titah berkenaan kerana ia bidang kuasa Lembaga Pengampunan

3:13 PM MYT

 

KAJANG – Afidavit diikrarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai Titah Adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, berhubung kebenaran melaksanakan baki hukuman Datuk Seri Najib Razak menerusi tahanan rumah dibuat atas kapasitinya sebagai Presiden Umno.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau juga tidak mahu terlibat dalam perbincangan titah berkenaan kerana ia bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

“Saya tidak mahu terlibat dalam perbincangan soal adendum dan sebagainya, kerana ini bidang kuasa Lembaga Pengampunan, selepas itu wewenang sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu.

“Sepatutnya semua pihak terima kenyataan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk menjamin keamanan, kuatkan kestabilan dan politik serta membangunkan negara,” katanya kepada media selepas solat jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Ditanya mengenai afidavit oleh Zahid, Anwar berkata ia dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri itu sebagai presiden Umno.

“Itu beliau lakukan sebagai presiden Umno dan Peguam Negara tentunya terpaksa bagi pihak Lembaga Pengampunan.

“Kerana pendirian kita, semua urusan yang libat raja-raja tidak harus dicabar.

“Sebab itu saya tidak mahu ulas selain mengatakan ini prinsip pendirian kerajaan bukan sahaja sekarang tapi selamanya sejak merdeka,” katanya.

Dalam afidavitnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu, Zahid mendakwa semasa mesyuarat di rumahnya di Country Heights, Kajang, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan kewujudan Titah Adendum itu.

Zahid turut mengesahkan Titah Adendum itu adalah tulen kerana tertera mohor diraja dan tandatangan bekas Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu beberapa pihak dalam Umno menggesa kerajaan melaksanakan titah itu bagi memastikan ia tidak menjadi polemik yang berpanjangan.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Sg Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan kenyataan Zahid mengenai kewujudan Titah Adendum itu.

Menurut beliau, seramai 10 Ketua Umno bahagian termasuk dirinya menjadi saksi hidup selepas perkara itu dimaklumkan oleh Zahid dalam satu perjumpaan tertutup sebelum mengerjakan umrah pada Ramadan lalu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun untuk memutuskan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Najib bagi mencabar kewujudan perintah tambahan yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 19 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

PN’s Kuala Kubu Baharu candidate tight-lipped over loan shark debt allegation

A since deleted post on social media site X had said a PN candidate owed tens of thousands of ringgit to loan sharks

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related