SSPA akan jadi sistem saraan terbaik pernah diperkenal Malaysia: PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pimpinan tinggi dalam perkhidmatan awam memastikan semua kelompok penjawat awam mendapat manfaat daripada sistem itu

7:16 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat, adalah antara yang terbaik pernah diperkenalkan dalam negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, SSPA itu akan membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi pernah dilakukan.

“Setakat ini saya teliti dan saya tegaskan semula, kajian ini dan sistem saraan ini punyai implikasi, kewangan dan pengiktirafan terbaik yang pernah diperkenal dalam negara.

“Dan ini bukan masalah saudara, masalah kita semua untuk cari dana lebih, saya nak saudara-saudari percaya bahawa saya tidak anggap ini perkara ringan atau enteng,” katanya semasa berucap di Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan lebih 2,000 pegawai tadbir dan diplomatik.

Anwar juga menafikan bahawa kerajaan hanya menumpukan kepada kebajikan penjawat awam, sebaliknya perhatian turut diberikan kepada permasalahan yang dihadapi golongan lain seperti petani dan nelayan.

Katanya beliau ‘dihentam teruk’ kerana dikatakan menumpukan perhatian kepada penjawat awam sahaja, bagaimanapun beliau berpendapat golongan ini tidak boleh disamakan dengan yang lain.

“Penjawat awam tidak boleh disamakan dengan yang lain sebab saudara itu di bawah tanggungjawab kita secara langsung, tetapi 12 tahun tidak diberi perhatian dalam sistem saraan.

“Jadi saya jawab pada kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, saya tidak ada pilihan. Saya nak saudara berikan yang terbaik, saya mesti iktiraf sumbangan saudara dan berikan satu sistem saraan yang lebih adil,” katanya.

Anwar berkata, beliau juga mahu pimpinan tinggi dalam perkhidmatan awam memastikan semua kelompok penjawat awam mendapat manfaat daripada sistem itu.

“Dalam mesyuarat bersama ketua setiausaha negara, ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) dan ketua setiausaha perbendaharaan, saya katakan saya tidak mahu satu jabatan, satu kelompok yang rasa mereka tertinggal. Kita nak ambil tindakan sistem saraan ini yang menyeluruh dan kemudian saya minta dilakukan bersama dengan civil service reform,” katanya.

Justeru Anwar berkata, beliau mahu penjawat awam memberikan prestasi kerja yang lebih baik dengan dipantau ketua jabatan masing-masing, malah menegaskan pengiktirafan atau kenaikan pangkat tidak harus diberikan kepada penjawat awam yang malas dan berprestasi lemah.

Selain itu beliau juga mahukan supaya segala kemudahan untuk penjawat awam dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya, dikaji semula.

“Kita beri kemudahan, tapi kita pilih dan nilai prestasi masing-masing. Kalau teruk, lembab dan malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengikitrafan. Saya minta KPPA dan pimpinan bincang dengan semua, bagi pandangan tetapi ‘reform’ dalam perkhidmatan awam, dalam erti kata lain tidak melayani kalangan kecil yang prestasinya sangat lemah.

“Kalau kita nak angkat martabat negara kita, kita nak lebih efisien, kita nak nilai orang dari segi prestasinya, kita tidak boleh anggap orang itu wajar diberi pengiktirafan semata-mata kerana umurnya atau lama perkhidmatannya,” katanya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan khas RM2 juta kepada PPTD bagi pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksana dengan sempurna. – 25 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US officials to visit Malaysia over alleged funds to Iran’s drone programme, says report

Washington honing in on claimed flow of money through Southeast Asia

Related