◉ HEADLINES

Kenaikan gaji hargai penjawat awam termasuk pasukan Bomba: Anwar

Langkah itu dibuat kerana penjawat awam merangkumi agensi keselamatan merupakan barisan hadapan di sebalik pengurusan dalam memastikan keamanan negara

2:16 PM MYT

 

IPOH – Keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka terutama ketika negara berdepan bencana dan kejadian tidak diingini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun negara sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak menentu, langkah itu dibuat kerana penjawat awam merangkumi agensi keselamatan merupakan barisan hadapan di sebalik pengurusan dalam memastikan keamanan negara. 

“Mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang kerajaan pilih naikkan gaji dan upah penjawat awam?

“Jangan lupa, negara ini aman, selamat daripada kebakaran, tanah runtuh, malah selamatkan haiwan, semuanya kerana perkhidmatan dan pengorbanan mereka (pasukan keselamatan),” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Jalan Tambun, Sunway City di sini hari ini. 

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad. 

Anwar dalam pada itu, menyelar segelintir pihak yang mempertikaikan langkah menaikkan gaji penjawat awam termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen yang ada niat menggagalkan tindakan berkenaan di Parlimen. 

“Ya. Saya tahu ada yang mengkritik. Ada Ahli Parlimen yang menyatakan, oh mana tahu dalam Parlimen tidak akan lulus. Saya nak tengok muka mana yang nak menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam.

“Kalau ada orang yang berani menentang ini tanpa alasan yang munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya,” kata beliau. 

Anwar berkata beliau komited untuk mengusahakan peruntukan bagi tujuan memastikan kebajikan anggota keselamatan negara sentiasa terjaga. 

Sementara itu, ketika menzahirkan penghargaan kepada JBPM, Anwar berkata kecekapan pasukan itu mendapat pujian daripada pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. 

“Saya nak nyatakan, ketika saya bertemu Erdogan, beliau tak henti-henti memuji kecekapan pasukan bomba kerana kita pernah membantu sewaktu bencana dulu, ucap terima kasih dan penghargaan itu,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menyeru pasukan JBPM meneruskan kecemerlangan dan meningkatkan kesiapsiagan bagi terus membantu menjaga keamanan negara dan kesejahteraan rakyat. 

Terdahulu, ketika tiba pada majlis berkenaan, Anwar menerima tabik Hormat Perdana diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Siap Sedia Setiap Masa sebelum memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat diiringi pancaragam JBPM.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Wira Merah diketuai Penolong Pesuruhjaya Bomba Rozihan Anwar Mamat. 

Tema sambutan hari Bomba tahun ini, “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” simbolik kepada komitmen dan dedikasi JBPM yang sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Lebih 5,000 orang awam turut hadir menyaksikan persembahan dengan pelbagai pertunjukan kebombaan, perbarisan dan perarakan jentera dan aset JBPM, sekali gus memeriahkan sambutan berkenaan. – 4 Mei, 2025

 

Topics

 

◉ Hangat

MCMC condemns viral Quran desecration video, vows legal action as investigation continues

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has stepped up efforts to identify an individual seen disrespecting the Al‑Quran in viral social media clips, warning the public against spreading incendiary content that could threaten national harmony

Sedia pinda undang-undang kekang jenayah babit pesakit mental: Dzulkefly

Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan 'tiket sedemikian' untuk melakukan jenayah, namun sebarang pindaan perlu diperhalusi

Selebriti TV, Sheahnee dedah ibunya ‘diganggu’ ketika dalam Koc Wanita oleh sekumpulan remaja lelaki

Bekas personaliti televisyen, Sheahnee Iman Lee meluahkan rasa kesal dengan sikap 'keras kepala' segelintir kaum lelaki yang berdegil dan masih lagi memasuki koc wanita yang disediakan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

◉ Related