◉ HEADLINES

Sanusi mohon maaf di depan Perdana Menteri atas ketelanjuran kata

“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab."

11:56 PM MYT

 

JITRA – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor malam ini mengambil kesempatan memohon maaf di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, permohonan maaf itu adalah bagi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ (hubungan sesama manusia) selama beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dan atas kapasiti politik.

“Sebagai insan yang lemah, ketelanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.

“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dan segala perkara yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik.

Muhammad Sanusi juga berharap, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan perhatian dan tidak meminggirkan Kedah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah memberikan perhatian kepada projek-projek pembangunan, terutama di kawasan luar bandar Kedah.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri Kabinet serta kira-kira 15,000 tetamu. – 4 Mei, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Tragedi lori jatuh laut, pemandu ditemukan lemas

Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai lemas selepas lori yang dipandunya terjatuh ke dalam laut di Dermaga Pelabuhan Barat, Klang di sini, hari ini.

Sedia pinda undang-undang kekang jenayah babit pesakit mental: Dzulkefly

Dzulkefly tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental, menggunakan 'tiket sedemikian' untuk melakukan jenayah, namun sebarang pindaan perlu diperhalusi

Isu kibar bendera China: Hentikan keluar kenyataan berbaur hasutan, 3R, tegas Fahmi

Menteri Komunikasi berkata ia bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan

◉ Related