Kita tak boleh hidup aman selagi kempen barat burukkan Islam tidak dihentikan: Mufti Perlis

Katanya, dengan menghayati kandungan al-Quran dan melihat sejarah kegemilangan kerajaan Islam, kempen barat menentang Islam boleh dihapuskan

6:34 PM MYT

 

PETALING JAYA – Dunia tidak akan aman selagi kempen memburukkan Islam dan umatnya digelar pengganas oleh negara barat tidak dihentikan.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, keamanan yang pernah dikecapi ketika zaman pentadbiran khalifah Islam sebelum ini berubah selepas barat memulakan kempen mereka untuk menentang atau memerangi keganasan.

“Dan mereka begitu fokus hanya untuk satu kumpulan atau agama iaitu Islam dan Muslim. Semua definisi keganasan hanya fokus kepada orang Islam. Anda boleh pergi ke media barat dan (baca) dokumen mereka.

“Anda tidak boleh memahami keganasan dan setiap perkataan itu hanya untuk orang Islam. Dari situ, masyarakat dunia mempunyai perasaan tidak baik terhadap umat Islam dan beranggapan mereka berdepan pengganas yang berfikir untuk membunuh orang bukan Islam.

“Jadi saya rasa kita tidak boleh hidup dengan aman sehingga kita menghentikan kempen buruk seperti ini yang datang dari media barat,” katanya ketika berucap pada persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau menggesa pemimpin pelbagai agama supaya tidak mempercayai dakwaan media barat, sebaliknya menghayati sendiri kandungan al-Quran dan sumbangan khalifah Islam kepada masyarakat dunia.

“Kita perlu memperbaharui perasaan kita. Baca al-Quran dan melihat sejarah kegemilangan kerajaan Islam atau khalifah dan apa yang Islam lakukan kepada manusia.

“Anda akan menemui betapa hebatnya apa yang Islam lakukan ketika zaman (pemerintahan Islam) di Baghdad dan Andalusia.

“Jadi, apa yang kita hadapi hari ini adalah persepsi buruk yang ditanam pada pemikiran kita sehingga kita tidak boleh bergerak ke hadapan untuk hidup aman sehingga kita menghapuskan kempen menentang Islam seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Cor Episcopa Philip Thomas berkata, pemimpin agama adalah kumpulan terbaik untuk membawa nilai keamanan kepada masyarakat dunia hari ini.

Jelas beliau, sebagai pemimpin agama, mereka perlu melihat nilai keamanan, kerana ia tidak boleh hanya semata-mata berasaskan kepada ungkapan konstruk berdasarkan perjanjian.

“Salah satu ungkapan kardinal keamanan ialah cinta kepada kehidupan bersama dan banyak nilai dunia masa kini muncul daripada sistem pendidikan yang negatif,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda hari ini harus diajar mengenai keamanan dalam pendidikan mereka supaya ungkapan itu tidak menjadi perkara asing dalam kehidupan mereka.

“Ini kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pembentukan dan ekspresi mereka, pada ketika proses pembesaran mereka.

“Setiap usaha membina hubungan adalah satu ungkapan yang dapat dilihat di Malaysia, kepada pelbagai ungkapan. Bukan sahaja oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat beragama, tetapi juga oleh kerajaan,” katanya.

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya hari ini berjaya menarik kira-kira 2,000 tokoh agama dan intelektual dari 57 negara dan dianggap sebagai persidangan antarabangsa paling bersignifikan bagi pemimpin agama yang dianjurkan benua Asia.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Mohammed Abdulkarim Al-Issa. – 7 Mei, 2024

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related