Risiko sekatan ke atas syarikat Malaysia: Kerajaan sedia adakan sesi libat urus dengan AS

Terdahulu, timbul dakwaan terdapat peningkatan dalam pemindahan wang kepada Tehran dan proksinya, termasuk Hamas melalui sistem kewangan Malaysia

5:56 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kerajaan dan agensi berkaitan sedia mengadakan libat urus dengan wakil Amerika Syarikat (AS) berhubung risiko sekatan ke atas syarikat Malaysia, berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran serta proksinya, Hamas melalui sistem kewangan negara ini.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini, malah perbincangan mengenainya masih berjalan.

“Perkara ini dibincangkan terperinci di mesyuarat Kabinet hari ini dan disebabkan ia masih dalam perbincangan, saya tidak mahu komen secara lebih mendalam.

“Isu ini juga semestinya mendapat perhatian Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet, kami memandangnya dengan serius.

“Kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, bersedia mengadakan libat urus dengan rakan sejawat dari AS dan untuk memahami apa kebimbangan sebenar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kementerian Komunkasi di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan kunjungan ke Singapura dan Malaysia dalam masa terdekat.

Laporan Reuters memetik sumber dalaman mengesahkan mengenai lawatan itu ketika Washington berusaha memerangi pembiayaan Iran dan kumpulan proksi mereka.

Ia susulan timbul dakwaan terdapat peningkatan dalam pemindahan wang kepada Tehran dan proksinya, termasuk Hamas melalui sistem kewangan Malaysia.

Dalam masa sama, Fahmi menegaskan sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia hanya mengiktiraf keputusan dibuat pertubuhan terbabit, berbanding mengikut keputusan unilateral dilakukan sesebuah negara.

“Malaysia sebagai negara berdaulat akan mengikut arahan sekatan dikeluarkan dari PBB sahaja.

“Apabila melibatkan sekatan unilateral kami perlu mengkaji dan bincang perkara tersebut dengan pihak berkaitan (AS),” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, laporan awal nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan kru pada 23 April lalu, diterbitkan esok.

Manakala, katanya, laporan penuh dijangka siap dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi.

Fahmi berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuat kenyataan mengenai laporan terbabit.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Menteri Pertahanan sudah memberi maklum balas mengenai status laporan awal siasatan nahas helikopter TLDM di Lumut.

“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini adalah laporan awal, manakala laporan penuh dijangka siap dua ke tiga minggu lagi,” katanya.

Pada 23 April lalu, seramai 10 kru TLDM maut dalam nahas dua helikopter yang terlanggar sebelum terhempas ketika latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90. – 8 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Where is Sabah AG Nor Asiah on 40% grant revenue issue, ask state advocates

Former assemblyman says AG should be at the forefront in advocating for Sabah's rights

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Related