◉ HEADLINES

Muatan berlebihan punca kemalangan maut ragut 9 nyawa anggota FRU : laporan siasatan

Laporan akhir siasatan oleh Pasukan Petugas Khas itu mendapati muatan lori tersebut melebihi 70 peratus had yang dibenarkan

2:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kemalangan maut sehingga mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu, berpunca akibat muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil.

Perkara berkenaan terkandung dalam laporan akhir siasatan kemalangan maut yang berlaku di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan itu, yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Menurut MOT, muatan berkenaan melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

Keadaan ini, katanya, menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.

“Laporan itu turut menjelaskan tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng, sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi,’’ kata MOT dalam kenyataan hari ini.

Jelas MOT, laporan tersebut disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri, dengan tujuan mengenal pasti punca kejadian serta mencadangkan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya negara.

Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan FRU yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan.

Ketika kejadian, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.

Dalam pada itu, sebanyak 16 syor keselamatan telah dikemukakan merangkumi enam bidang utama, antaranya peningkatan pematuhan ICOP–Keselamatan, penambahbaikan Akta 715, serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.

“Kementerian menegaskan siasatan keselamatan ini tidak bertujuan untuk menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya untuk memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama ini tidak berulang,’’ katanya.

Laporan penuh boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan di www.mot.gov.my mulai hari ini. – 31 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

◉ Related