HEADLINES

MCMC umum proses tender rangkaian 5G kedua tidak lama lagi: Fahmi

Fahmi Fadzil turut memberitahu bahawa satu prasyarat untuk menyertai rangkaian dwi adalah melengkapkan proses Perjanjian Langganan Saham (SSA)

5:16 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengumumkan proses tender tidak lama lagi bagi membolehkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) membida perkhidmatan rangkaian 5G kedua.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun MNO mesti melengkapkan proses Perjanjian Langganan Saham (SSA) mereka untuk pegangan saham ekuiti dengan Digital Nasional Berhad (DNB) dan mereka akan diberi masa 20 hari untuk berbuat demikian, bermula hari ini.

“Kabinet dimaklumkan bahawa DNB mengadakan mesyuarat pertama (dengan syarikat telekomunikasi) semalam dan setiap wakil diberi masa 20 hari untuk membuat keputusan.

“Kami berharap selepas tempoh itu, (syarikat telekomunikasi) akan melengkapkan dan memuktamadkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB.

“Satu prasyarat untuk menyertai rangkaian dwi adalah untuk melengkapkan SSA. Tidak lama dari sekarang, MCMC akan mengumumkan tender untuk firma yang berminat membuat bidaan mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Dalam temu bual eksklusif dengan Scoop minggu lepas, Fahmi berkata, kerajaan berada dalam ‘minggu terakhir‘ sebelum pengumuman pelancaran rangkaian 5G kedua.

Beliau berkata, MCMC akan menentukan syarikat telekomunikasi yang akan diberi tanggungjawab untuk menyediakan rangkaian 5G kedua itu.

Ditanya mengapa SSA masih belum disiapkan, Fahmi menjelaskan bahawa wakil syarikat telekomunikasi itu perlu berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu dengan syarikat mereka sebelum membuat keputusan.

“Telco telah meminta masa tambahan untuk berunding dengan lembaga syarikat mereka, dengan sesetengahnya perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membuat keputusan tertentu.

“Oleh itu, terdapat satu usaha yang wajar, yang kini telah selesai dan dibentangkan,” katanya.

Tahun lepas, lima MNO bersetuju untuk mengambil pegangan ekuiti dalam DNB untuk menyokong pembangunan rangkaian 5G Malaysia.

Pengendali berkenaan ialah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd.

Sehingga 30 April lalu, Fahmi berkata, capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk mencecah 81.5% manakala dari segi penerimagunaan ataupun ‘adoption rate’ untuk rangkaian 5G telah mencapai 39.2%.

Bagi menggalakkan penggunaan 5G dalam kalangan Perusahaan mikro, kecil dan sederhana, Fahmi mengumumkan bahawa MCMC akan menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoA) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam tempoh dua minggu lagi. — 21 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

It’s not Big Tobacco, but Big Pharma that’s behind vape ban push: industry leader

Move president warns of harm to public health and legal vape industry if proposed nationwide ban goes ahead

Related