HEADLINES

Akaun Instagram ibu Zayn Rayyan ‘hilang’, segala kisah sedih dikongsi sudah tiada

Ketiadaan akaun media sosial menggunakan nama Izz Manaf itu menghairankan kerana ia menjadi ‘pengubat rindu’ Ismanira terhadap anaknya

9:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Akaun Instagram milik ibu kanak-kanak mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, iaitu Ismanira Abdul Manaf sudah tidak kelihatan, selepas berita dia ditahan reman berhubung insiden kematian anaknya.

Pencarian Scoop di akaun menggunakan nama Izz Manaf dengan gambar profil terakhir digunakannya yang dipercayai adalah foto dia memeluk erat Zayn Rayyan, sudah tidak wujud.

Kehilangan akaun itu pastinya menghairankan dan mencetuskan persoalan, memandangkan Ismanira dilihat aktif berkongsi status dan foto, terutama mengenai kenangannya sekeluarga bersama arwah sejak masih bayi.

Malah, ibu kepada dua anak itu hampir setiap hari memuat naik hantaran meluahkan kerinduan terhadap Zayn Rayyan, termasuk sering menunjukkan gambar pusara anaknya itu yang dijaga rapi dan dihias indah bunga.

Video kenangan keriangan Ismanira dan suami, Zaim Ikhwan Zahari menghabiskan masa bersama arwah di taman dengan keterangan, “Walau apa pun berlaku, ada kenangan tidak boleh diganti” – Tangkapan layar, 1 Jun, 2024

Ketika memasuki hari ke-20 selepas penemuan mayat Zayn Rayyan, Ismanira bagaikan ‘tertekan’ dengan cengkaman rindu terhadap anaknya itu apabila memuat naik video kenangan keriangan dia dan suami, Zaim Ikhwan Zahari menghabiskan masa bersama arwah di taman dengan keterangan, “Walau apa pun berlaku, ada kenangan tidak boleh diganti”.

Dia juga pernah berkongsi video memaparkan dia, suaminya dan anak kedua mereka meraikan ulang tahun ke-7 Zayn Rayyan pada 22 Februari lalu di pusara arwah dengan ucapan menyentuh hati.

“Selamat hari lahir kepada anak sulung saya, anak lelaki baik saya yang berusia 7 tahun hari ini! (22 Februari 2017),” tulisnya.

Ismanira turut memuat naik foto kek kelahiran bertemakan dinosaur untuk Zayn Rayyan dengan menyatakan, kehidupannya seolah-olah ‘kosong’ sejak pemergian mangsa.

Sejak kematian Zayn Rayyan pada Disember lalu, Ismanira berkongsi pelbagai kenangan, antaranya saat indah arwah bergraduasi ketika di prasekolah serta video anaknya itu bermain buaian dengan kata-kata penghargaan, “Terima kasih sebab pernah hadir dalam hidup mommy”.

Untitled design - 1
Ismanira pernah berkongsi video memaparkan dia, suaminya dan anak kedua mereka meraikan ulang tahun ke-7 Zayn Rayyan pada 22 Februari lalu di pusara arwah dengan ucapan menyentuh hati – Tangkapan layar, 1 Jun, 2024

Pada sesi temu bual eksklusif bersama Scoop, Ismanira berkata, dia sekeluarga tidak berputus harap dan berdoa agar individu membunuh anaknya itu, segera ditangkap, selain berdoa suspek tidak akan hidup tenteram serta tenang selagi tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa.

“Saya berharap agar pelaku tersebut dapat ditangkap dan dikenakan hukuman berat.

“Saya juga menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu mendoakan agar pelaku ini dapat ditangkap, biar dia kepanasan, gelisah, tidak tenteram dan berserah diri kepada pihak polis,” katanya.

Walaupun ada ketika Ismanira berehat beberapa hari daripada Instagram atas alasan ingin menenangkan diri dan ‘stres’ susulan permergian Zayn Rayyan, dia kembali semua berkongsi status beberapa hari kemudian.

Kali ini, Instagram miliknya sudah dinyahaktif, sekali gus orang ramai tidak boleh melihat segala foto dan video dikongsikan itu.

Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan direman seminggu bermula hari ini di Mahkamah Majistret selepas perintah itu dikeluarkan untuk membenarkan permohonan polis.

Reman itu dikeluarkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak berkenaan.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri. – 1 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related