HEADLINES

Insiden tembak KLIA: Mahkamah tetapkan 25 Julai untuk pengurusan kes

Pihak pendakwaan memerlukan sekitar sebulan untuk melengkapkan dokumen berkaitan tuduhan terhadap Hafizul Harawi

12:03 PM MYT

 

SEPANG – Mahkamah majistret di sini menetapkan 25 Julai untuk pengurusan kes perbicaraan seorang lelaki yang dituduh cuba membunuh isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada April lalu.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan tarikh itu hari ini, selepas pihak pendakwaan memerlukan sekitar sebulan untuk melengkapkan dokumen berkaitan tuduhan terhadap Hafizul Harawi.

Peguam Hafizul, Nik Azim Azlan, mengesahkan perkara itu kepada media, dengan menambah prosiding hari ini didengar di hadapan seorang majistret kerana hakim mahkamah sesyen yang mendengar kes terbabit pada awalnya, sedang dalam proses dipindahkan ke mahkamah lain.

Hafizul, 38, dituduh di hadapan hakim mahkamah sesyen Azrol Abdullah pada 25 April lalu, dengan dua tuduhan cubaan membunuh isterinya dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada pengawal peribadi wanita berkenaan menggunakan senjata berbahaya.

Tuduhan terbabit dibuat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Seksyen 307 membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan jika kecederaan berlaku, hukuman meningkat kepada 20 tahun, bersama dengan denda selepas sabitan, manakala Seksyen 326 membawa hukuman penjara 20 tahun serta denda atau sebatan.

Tertuduh tidak dibenarkan jaminan pada hari dia dituduh.

Pada 24 April, bekas pengurus agensi pelancongan terbabit turut dituduh dengan tujuh pertuduhan, termasuk memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.

Tuduhan terbabit dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki sekotak mercun tanpa permit.

Dia juga menghadapi tiga tuduhan di bawah Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki tiga MyKad milik individu lain, selain satu tuduhan di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Terdahulu, nama Hafizul hangat diperkatakan masyarakat apabila dia didakwa melepaskan dua tembakan di KLIA yang dikatakan menyasarkan isterinya atas isu peribadi.

Namun, peluru itu terkena pengawal peribadi isterinya, Muhammad Nur Hadith Zaini. – 11 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related