HEADLINES

Suspek bunuh Farah disahkan anggota polis bertugas di Perak

Suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim: Ketua Polis Perak

2:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, disahkan seorang anggota polis.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim.

“Suspek sudah bertugas selama lima tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan masih lagi dijalankan untuk mengetahui hubungan sebenar suspek dan mangsa,” katanya.

Semalam, media melaporkan suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes kematian Farah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek berusia 26 tahun itu sudah bertugas selama lima tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia dan kini bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim. – Gambar Facebook, 16 Julai, 2024

Farah dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai lalu.

Kali terakhir dilihat, Farah yang berasal dari Miri, Sarawak itu memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam.

Kehilangannya mencetuskan kebimbangan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa, apatah lagi Farah disifatkan seorang pekerja yang komited dan tidak pernah mencetuskan apa-apa masalah sepanjang bekerja di syarikat perkhidmatan kereta sewa itu.

Malah abang Farah iaitu Mohammad Fariza Abdullah ketika dihubungi Scoop mengakui tidak mengenali suspek yang didakwa sebagai teman lelaki adiknya itu.

Katanya, adiknya tidak pernah bercerita mengenai hubungannya dengan suspek kepada keluarga mereka dan masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berhubung perkara itu.

“Saya langsung tidak mengenali lelaki tersebut. Setakat ini, saya tak pernah dengar tentang dia (suspek) dari arwah.

“Buat masa sekarang, saya masih menunggu maklumat daripada pihak polis (mengenai hubungan mereka),” katanya. – 16 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Jakel explores land purchase to allow temple, mosque to coexist

Company seeks to acquire adjacent land to resolve temple dispute and avoid racial tensions

‘I’m still the CEO of Harimau Malaya’: Rob Friend

The national squad manager has pushed back against a FIFA report that described him as a consultant to the Football Association of Malaysia

MCMC to host Safer Internet Day 2026, emphasising safe and responsible use of technology and AI

The event at Taman Tasik Titiwangsa on February 8 will promote safe digital practices, AI awareness, and responsible Internet use, especially among youth

Related