HEADLINES

MMA bantah sumbangan kilang arak, syarikat tembakau kepada sekolah

Walaupun sesetengah sekolah mungkin terdesak memerlukan pembiayaan, garis panduan yang jelas mengenai penerimaan sumbangan harus diwujudkan

6:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang dan membantah sekeras-kerasnya penerimaan sumbangan daripada kilang arak dan syarikat tembakau oleh pihak sekolah.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan sumbangan sedemikian menghantar mesej berbahaya kepada golongan belia dan menjejaskan usaha untuk menggalakkan persekitaran pembelajaran yang sihat.

Menurutnya, walaupun sesetengah sekolah mungkin terdesak memerlukan pembiayaan, garis panduan yang jelas mengenai penerimaan sumbangan harus diwujudkan.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat untuk memupuk tabiat sihat dalam kalangan remaja. Kerajaan juga harus memastikan kedua-dua sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular mendapat sokongan yang baik dengan pembiayaan mencukupi.

“Melabur dalam pendidikan dan bakat harus menjadi antara keutamaan tertinggi negara. Sungguh menyedihkan apabila mendengar bahawa banyak sekolah masih kekurangan dana, menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan sumbangan daripada sektor swasta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu dikecam selepas gambar tular di media sosial memaparkan dirinya bersama individu lain dengan sebuah replika cek sumbangan syarikat arak berjumlah RM3 juta.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, beliau menghadiri program di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di kawasannya bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain.

Mengulas lanjut, Dr Azizan berkata, tindakan menerima sumbangan daripada kilang arak dan syarikat tembakau dikhuatiri akan menormalkan penggunaan bahan terlarang itu dalam kalangan pelajar.

Katanya, pendidikan harus memperkasakan pelajar, bukan mendedahkan mereka kepada tingkah laku yang boleh membawa kepada ketagihan dan masalah kesihatan di kemudian hari.

“Negara-negara di seluruh dunia telah mengiktiraf kesan buruk membenarkan syarikat arak dan tembakau mempengaruhi persekitaran pendidikan.

“Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah mempunyai peraturan ketat yang melarang sumbangan sedemikian kepada sekolah.

“Dasar ini direka untuk melindungi golongan muda daripada terdedah kepada bahan berbahaya dan untuk menggalakkan budaya kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.

Susulan itu, Dr Azizan berkata, MMA menggesa semua institusi pendidikan untuk mematuhi garis panduan sedia ada yang melarang penerimaan dana daripada syarikat tembakau dan alkohol.

“Kami menyeru penggubal dasar, pemimpin sekolah dan masyarakat untuk menegakkan piawaian kritikal ini yang melindungi persekitaran pendidikan daripada pengaruh industri berbahaya.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang menggalakkan kesejahteraan dan memupuk masyarakat yang produktif, bukannya tempat di mana tabiat tidak sihat boleh berakar umbi,” katanya. – 25 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Related