HEADLINES

2 kenderaan MALBATT diserang orang awam di Lubnan

Tiga pegawai serta tujuh anggota lain-lain pangkat berada dalam dua kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11 itu ketika kejadian pada jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia)

1:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua kenderaan Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) diserang sekumpulan orang awam di Lubnan, kelmarin.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan memaklumkan, tiga pegawai serta tujuh anggota lain-lain pangkat berada dalam dua kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11 itu ketika kejadian pada jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).

Katanya, tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit, bagaimana pun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan.

“Semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa dan ketika itulah, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah.

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua kenderaan MALBATT. Hampir 30 individu membaling batu dan memancitkan semua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan, bagi mengelak kejadian lebih buruk, ketua pergerakan mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan selamat dan kekal berada dalam kenderaan bagi menanti bantuan.

“Lebanon Armed Forces (LAF) tiba dilokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia),” katanya.

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, insiden serangan terhadap kenderaan MALBATT 850-11 oleh orang awam di Lubnan yang berjaya dirakam, tular di media sosial.

MALBATT 850-11 turut menyatakan komitmen untuk meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL malah semua pihak diminta agar untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu, yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyebut pihaknya sedang memantau situasi di Lubnan susulan kejadian letupan alat kelui yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.

Wisma Putra juga memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas atau terlibat dalam insiden itu. – 20 September, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Related