◉ HEADLINES

‘Saya tidak pernah arah Azilah, Sirul bunuh Altantuya’: Najib

"Jelas sekali bahawa dia mahu mencemarkan reputasi saya di mata umum, kerana itu saya didakwa menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu. Integriti dan reputasi saya telah terjejas dengan tuduhan tidak berasas ini,” kata Najib

5:42 PM MYT

 

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah mengarahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Najib, 71, berkata beliau juga tidak pernah bertemu wanita Mongolia berkenaan dan pengakuan itu telah direkodkan dalam akuan bersumpah dan sumpah laknat beberapa kali, sekali gus menafikan beliau dalang di sebalik pembunuhan kejam itu.

“Pada masa itu, saya memegang jawatan timbalan perdana menteri. Saya tidak pernah bertemu dengannya dan saya juga tidak terlibat dalam jenayah ini. Saya mengenali Abdul Razak Baginda. Beliau adalah penganalisis pertahanan yang bekerja di bawah pentadbiran saya pada masa itu. Begitulah saya mengenalinya.

“Beliau terlibat dalam membeli kapal selam daripada syarikat Perancis, yang melibatkan perjanjian berbilion dolar untuk negara,” katanya.

Najib berkata demikian ketika disoal peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkaitan saman fitnah yang difailkannya terhadap Tan Sri Tommy Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd atas dakwaan menerbitkan kenyataan yang berbaur fitnah dalam buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness.

Ketika ditanya mengenai mendiang Altantuya, Najib berkata “Dia sememangnya bukan seorang daripada mereka yang berada di peringkat atasan perjanjian berkenaan. Seperti yang saya tahu daripada laporan media, dia ialah seorang penterjemah. Saya tidak tahu butiran hubungan mereka, tetapi kemudiannya saya mengetahui bahawa mereka mempunyai hubungan romantik.”

Beliau berkata sebagai penulis buku itu, Thomas yang merupakan bekas peguam negara (AG), sepatutnya mengesahkan fakta-fakta sebelum meneruskan penerbitan berkenaan.

“Dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad, Thomas adalah Peguam Negara pada masa itu, yang membawa pertuduhan terhadap saya.

“Dia menulis buku itu selepas meninggalkan Jabatan Peguam Negara (AGC), mendakwa bahawa saya menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu. Ia diterbitkan oleh defendan kedua dan diedarkan di dalam dan luar negara.

“Jelas sekali bahawa dia mahu mencemarkan reputasi saya di mata umum, kerana itu saya didakwa menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu. Integriti dan reputasi saya telah terjejas dengan tuduhan tidak berasas ini,” kata Najib.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris akan disambung semula pada 30 Jun tahun depan.

Pada 2021, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan saman terhadap Thomas yang didakwa menulis dan menerbitkan buku yang mengaitkannya dengan pembunuhan itu.

Najib mendakwa kenyataan fitnah itu memberi gambaran bahawa beliau telah mengarahkan Azilah dan Sirul untuk membunuh Altantuya dan Thomas telah mengelirukan orang ramai mengenai pembunuhan berkenaan.

Najib dakwa reputasinya terjejas oleh penerbitan kenyataan berunsur fitnah, dan menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan terhadap kedua-dua defendan dan memohon perintah supaya defendan mengeluarkan kenyataan fitnah dalam buku itu. – 11 Oktober, 2024

Topics

 

◉ Hangat

LRT 3 fault free run: Meeting between Prasarana and main con scheduled next week

Transport Minister Anthony Loke says FFR still pending as priority is safety

Negeri Sembilan crisis highlights flaws in Malaysia’s electoral system: Projek Sama

Watchdog calls for electoral reform, warning that similar political crises may recur unless systemic changes are addressed

Petronas Sets RM20bil dividend for govt in 2026

Malaysia’s national oil company balances reinvestment priorities with shareholder returns as it outlines future capital spending

◉ Related