◉ HEADLINES

RUU Mufti: Mufti Perlis bidas Na’im ‘menteri agama pun kurang faham’

Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum ingin memaksa rakyat, tegas Dr Maza

5:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis hari ini membidas menteri agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang disifatkan kurang memahami namun mahu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali sebagai Dr Maza menegaskan, kebanyakan umat Islam tidak memahami ajaran Ashairah dan Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

“Saya berani katakan Menteri Agama yang beriya-iya nak mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham.

“Saya boleh buktikan, jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali itu.

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum ingin memaksa rakyat.

“Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?, soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen ini.

Beberapa pihak sebelum ini membantah pembentangan RUU Mufti ini dengan alasan ia memberikan kuasa yang luas kepada individu yang tidak dipilih tetapi dilantik seorang menteri, selain mengawal bagaimana umat Islam mengamalkan ajaran agama.

RUU Mufti juga didakwa sebagai autoritarianisme dan memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti.

Na’im bagaimanapun menjelaskan fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti itu hanya terpakai kepada orang Islam dan terhad di bawah bidang kuasa negeri.

Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, RUU yang Menteri Agama mahu laksanakan itu akan menjadikan keislaman seseorang muslim di wilayah Pentadbiran Kerajaan Persekutuan tidak dianggap mencukupi sehinggalah dia menganut Ashairah, Maturidiyyah, bertasawuf dengan cara Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali.

Beliau berkata, jika tidak, muslim itu dianggap terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menganut ajaran sesat dan ada akta ajaran sesat yang boleh dikenakan.

“Untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah ini tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan satu dua isu teologi sahaja.

“Anda perlu faham isu akidah yang berkaitan seperti tentang qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori dan andaian hukum fizik yang pelbagai.

“Jika dalam perkara amalan (fekah) seseorang boleh sekadar mengikut (bertaqlid) tetapi bab kepercayaan (akidah) tidak boleh.

“Bahkan mengikut sebahagian tokoh-tokoh besar Ashairah sesiapa yang gagal mendatang bukti keimanan kepada Allah seperti hujah-hujah Ashairah maka imannya tidak sah. Dalam erti kata lain, dia menjadikan kafir.

“Saya percaya 97% atau lebih muslim di negara ini tidak mampu memahami perbahasan akidah Ashairah dan Maturidiyyah ini,” katanya.

Terdahulu Asri mencadangkan media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya untuk berdialog bersama Na’im secara terbuka untuk membincangkan isu mengenai RUU berkenaan. – 16 Oktober, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Iran women’s football team may stay longer in Malaysia as AFC seeks safe options

The Asian Football Confederation says the Iran women’s national team could remain in Malaysia temporarily while authorities explore safe arrangements, after concerns over the players’ safety following the 2026 AFC Women’s Asian Cup in Australia

[TONTON] Mahal untuk dikendalikan, namun berbaloi untuk dinaiki: penjelasan mengenai perkhidmatan rel

'Jumlah penumpang yang tinggi, tambang rendah dan rangkaian yang terus berkembang,' demikian pandangan pakar rel mengenai sistem perkhidmatan rel negara

MCMC condemns viral Quran desecration video, vows legal action as investigation continues

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has stepped up efforts to identify an individual seen disrespecting the Al‑Quran in viral social media clips, warning the public against spreading incendiary content that could threaten national harmony

◉ Related