HEADLINES

Persatuan kecewa tindakan DBKL ambil alih 65 bazar ‘hanya kami yang faham masalah penjaja’

Presiden gabungan terbabit turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa persatuan bertindak seperti kartel yang menjual tapak bazar pada harga tinggi sehingga membebankan peniaga

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia yang dianggotai lima persatuan penjaja di ibu kota, akui kecewa kerana ‘terpaksa’ melepaskan pengoperasi 65 lokasi bazar Ramadan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas bertahun-tahun menguruskannya.

Bercakap kepada Scoop, presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, meskipun gabungan itu bersetuju dengan keputusan melepaskan operasi bazar terbabit kepada DBKL, namun perkara itu berlaku tanpa melibatkan rundingan dengan persatuan terlebih dahulu.

Lima persatuan dalam gabungan itu ialah Persatuan Penjaja dan Peniaga Bumiputera Wilayah, Persatuan Pekedai dan Peruncit Wilayah, Persatuan Penjaja Kecil Melayu Wilayah, Persatuan Pasar Malam Kuala Lumpur dan Persatuan Prihatin Kuala Lumpur.

“Walaupun kami dah serahkan operasi pengurusan 65 bazar di seluruh KL kepada DBKL tapi perkara seperti ini sebenarnya harus melibatkan perbincangan di antara pihak persatuan dengan Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa).

“Namun sejak beliau dilantik ke jawatan itu (Disember tahun lalu), pihak persatuan sudah menghantar surat untuk mengadakan perbincangan melibatkan isu berkaitan penjaja, tetapi tiada jawapan,’’ katanya ketika dihubungi Scoop.

Minggu lalu, Dr Zaliha menerusi hantaran di Facebooknya telah mengarahkan DBKL menguruskan sendiri bazar dan tidak diserahkan kepada pihak ketiga untuk mengendalikannya.

Jelas Dr Zaliha, banyak implikasi lain yang terjadi jika diserahkan kepada pihak ketiga untuk uruskan bazar seperti sebelum ini termasuk kenaikan sewa.

“Contohnya, DBKL sewakan kepada pihak ketiga dengan nilai yang rendah, tetapi sewa itu akan dinaikkan oleh pihak ketiga tersebut. Fair enough… sebab semua pengurusan mereka yang buat, termasuk memeriahkan suasana bazar dan sebagainya, tetapi kos sewa tinggi yang disewa oleh mereka itu siapa yang akan tanggung? Sudah pasti akan diserap dalam harga jualan mereka,’’ kata Dr Zaliha.

Menurut Rosli, sejak bertahun-tahun persatuan menguruskan hal ehwal pengurusan melibatkan penjaja dan hanya mereka memahami kesukaran dilalui golongan tersebut berbanding pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa persatuan bertindak seperti kartel yang menjual tapak bazar pada harga tinggi sehingga membebankan peniaga.

“Saya tahu betapa susahnya nak menguruskan operasi bazar-bazar ini sebab itu kami semua serahkan 65 kawasan itu untuk diuruskan kepada DBKL selepas ini.

“Ingat senang ke pihak kami nak menguruskannya, kami bukan seperti menteri, ada gaji… kami buat kerja ini dengan berbekalkan bayaran tapak daripada penjaja untuk uruskan operasi seperti perkhidmatan khemah jualan, Rela dan bayaran gaji kepada pekerja pengurusan.

“Itupun ramai kata kami ‘kartel’, kalau kami ‘kartel’ yang jual tapak dengan harga mahal dah lama kami jadi kaya-raya. Pihak menteri boleh periksa sendiri akaun persatuan, tengok berapa duit dalam tu,’’ katanya.

Sehubungan itu, Rosli mengharapkan Dr Zaliha dapat memperuntukkan sedikit masa untuk mengadakan pertemuan bersama pihak persatuan bagi membincangkan hala tuju dan penyelesaian terbaik mengenai isu terbabit. – 26 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

KLIA drivers urge MOT to intervene over new airport access charges

E-hailing and p-hailing groups say MAHB’s trial system causes delays and penalises drivers

Related