HEADLINES

[KEMAS KINI] Vivy, suami, tidak mengaku salah dakwaan pecah amanah RM8 juta

Vivy dan Fadzarudin dituduh melakukan pemindahan dana dari akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang itu

9:29 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lepas.

Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, dituduh dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet melakukan pemindahan dana berkenaan dari akaun bank FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Tuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Ashok Athimulan mewakili Vivy dan suami.

Pasangan suami isteri itu didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-kedua tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM100,000 setiap seorang dan pasport mereka perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Rosli turut mengenakan syarat tambahan bahawa pasangan suami isteri itu perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 22 Januari tahun depan.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan kedua-duanya dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dalam kes ini.

Terdahulu, pasangan itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini untuk berdepan dengan pertuduhan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.

Pasangan berkenaan yang berpegangan tangan tiba jam 8.45 pagi.

Pada 28 November lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet.

Menurut Azam, kertas siasatan ini telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.

Pada 5 November lalu, Scoop melaporkan berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pada Disember 2018, FashionValet membeli 30 Maple Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang kelihatan dimiliki sepenuhnya oleh pempengaruh media sosial Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, pada harga RM95 juta.

Sementara dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan sebelum ini mendedahkan Khazanah dan PNB entiti menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu. – 5 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related