◉ HEADLINES

Bersih tuntut penjelasan ‘kelemahan’ pendakwaan dalam kes Rosmah

Peguam Negara menerusi pasukan pendakwaan perlu menjelaskan perkara ini dan memperbaiki kelemahan dalam pendakwaan

7:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan kenapa seolah-olah berlaku isu kompeten sejak awal pertuduhan ke atas 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abd Aziz, rakyat berhak mengetahui mengenai perkara berkenaan.

Pada masa sama, Bersih katanya, menuntut Peguam Negara menerusi pasukan pendakwaan menjelaskan dan memperbaiki kelemahan dalam pendakwaan tersebut seperti terkandung dalam penghakiman hakim.

“Bagi saya rakyat berhak untuk tahu apa yang berlaku.

“Mengapa seolah-olah berlaku isu kompeten pendakwaan oleh AG sejak awal pertuduhan dibuat,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam penghakimannya, Hakim K. Muniandy berkata pertuduhan itu gagal memperincikan sifat transaksi melibatkan hasil haram atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.

Ia tidak mendedahkan elemen utama kesalahan pengubahan wang haram, termasuk transaksi berkaitan pengubahan wang haram, tingkah laku tertuduh dan wang yang dirujuk dalam pertuduhan.

Menurut hakim, kegiatan haram yang dikaitkan dengan pertuduhan itu tidak dinyatakan tetapi hasil daripada kegiatan itu muncul entah dari mana.

“Pertuduhan tersebut juga tidak menunjukkan transaksi seperti yang dimaksudkan di bawah Akta 613, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA),’’ katanya.

Mengenai tuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 pula, hakim berkata terdapat pendapatan yang tidak didedahkan kepada LHDN.

“Mesti ada transaksi yang menunjukkan penglibatan tertuduh dengan pendapatan yang tidak didedahkan tersebut untuk diklasifikasikan sebagai penggubahan wang haram,’’ katanya.

Sementara itu, Bersih bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan garis masa yang konkrit bagi pemisahan Pendakwaan Awam (PP) daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Selain Bersih, NGO lain ialah Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Rasuah Busters, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Engage dan Agora Society Malaysia.

“Jika mana-mana suspek VIP dibebaskan daripada tuduhan mereka, ia mesti menjadi keputusan hakim selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan terakhir, bukan keputusan Peguam Negara yang dilantik oleh Perdana Menteri,” kata gabungan berkenaan. – 19 Disember, 2024

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

FIFA slams FAM: Forged documents, fines and 12-month suspension rattles Malaysian football

World football’s governing body has sanctioned the Football Association of Malaysia (FAM) and seven naturalised players for using falsified documents to secure eligibility in the Asian Cup qualifier against Vietnam in June

◉ Related