◉ HEADLINES

Pesalah khalwat berulang jalani hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu

Mohd Affendi, 42, menjadi individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai

7:02 PM MYT

 

KUALA TERENGGANU – Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap buruh yang melakukan kesalahan khalwat berulang, dilaksanakan di Dewan ‘Aasim, Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, selepas solat Jumaat hari ini. 

Pelaksanaan hukuman berkenaan menjadikan tertuduh berumur 42 tahun yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga itu, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai. 

Terdahulu, duda kepada lima anak yang memakai pakaian lokap berwarna merah dan memakai pelitup muka tiba di dewan masjid pada 2.28 petang dengan diringi pegawai Penjara Marang, terus dibawa ke bilik khas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan. 

Sebelum hukuman dilaksanakan, hadirin di dewan yang tidak dibenarkan membawa sebarang peranti komunikasi termasuk telefon pintar dan dikawal rapi polis, diberi penerangan latar belakang kes oleh pegawai mahkamah syariah negeri. 

Hukuman enam sebatan dilaksanakan pada 2.50 petang dengan menggunakan rotan di belakang badan tertuduh selesai dua minit kemudian, dan Mohd Affendi dibawa semula ke bilik khas sebelum meninggalkan masjid menggunakan van penjara pada 3.01 petang. 

Walaupun orang ramai memenuhi perkarangan masjid namun polis berjaya mengawal situasi sepanjang pelaksanaan hukuman berlangsung.

Pada 20 Nov lepas, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas Mohd Affendi mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Hukuman itu dijatuhkan kerana ia kesalahan ketiga tertuduh, memandangkan pada 19 Feb lepas, Mohd Affendi dijatuhkan empat sebatan secara tertutup dalam penjara dan didenda RM3,000 kerana kesalahan khalwat kali kedua, selain pernah didenda RM2,700 untuk kesalahan sama pada 11 Julai 2023.  

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara. – 27 Disember, 2024

Topics

 

◉ Hangat

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Malaysia Airlines steps up Europe flights to help stranded travellers

Extra services to London and Paris launched in response to global disruptions

◉ Related