HEADLINES

KPN berjaya dapat injunksi, Papagomo diarah padam video unsur fitnah

Razarudin pada 26 Disember lalu memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

3:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bagi menghalang blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong yang membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) berkata Razarudin (plaintif) telah menunjukkan wujudnya isu yang serius dan ia perlu dibicarakan.

“Perkataan dan ayat yang digunakan oleh defendan (Wan Muhammad Azri) jelas merujuk kepada Razarudin dan ia berunsur fitnah. Injunksi terhadap defendan wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana dipohon oleh plaintif.

“Maka mahkamah memerintahkan injunksi sebagaimana permohonan plaintif dibenarkan sehingga perintah lanjut mahkamah ini,” kata Gan, yang kemudiannya menetapkan 10 Jan ini bagi mendengar permohonan injunksi secara dua belah pihak.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.

Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platfom media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Dis lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

Pada 26 Dis lepas, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas. 

Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – 31 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Anwar arah draf pindaan Akta Mara siap dalam masa tiga bulan

Tumpuan pindaan itu turut diberikan kepada aspek tadbir urus bagi memastikan agensi Bumiputera itu bukan sahaja lantang menyuarakan kepentingan, tetapi lebih tegas dalam melaksanakan tatakelola yang baik

MRCB posts strong Q1 growth as construction projects gain momentum

Revenue rises 46% to RM319.2 mil, profit before tax surges 87%, while construction profits triple; RM2.2bil in Malaysia property launches and RM800 million sales target set for 2026

MACC freezes several Padini bank accounts amid ongoing probe

Padini Holdings says the action will not materially affect day-to-day operations as it continues to cooperate with authorities

Related