◉ HEADLINES

Adakah peserta Himpunan Solidariti Najib esok derhaka pada Agong? Tidak sama sekali: Hassan Karim

Malaysia sebuah negara demokratik, bukannya sebuah negara feudal mutlak

12:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mereka yang berhimpun di Putrajaya esok sebagai tanda solidariti kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dianggap sebagai menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga seorang peguam, Hassan Karim dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, ini kerana Malaysia sebuah negara demokratik, bukannya sebuah negara feudal mutlak.

Malah, katanya, hak mereka yang berhimpun itu dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang menyatakan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Hassan berkata, hak di bawah perkara berkenaan tidak bersifat mutlak kerana Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau moraliti seperti dinyatakan Perkara 10(2)(b).

Beliau turut memberitahu, kenyataan Istana Negara pada 3 Januari lalu hanya menegas dan mengulangi apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 28 Disember 2024.

“Kenyataan Istana Negara itu tidak tidak membatalkan hak rakyat berhimpun seperti disebut di bawah Perkara 10(1)(b).

“Undang-undang yang tertinggi dipakai di negara kita Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan bukannya dekri atau titah dari Istana Negara, sesuai dengan dasar negara bahawa urusan kenegaraan berteraskan kedaulatan undang-undang dan perlembagaan,’’ katanya.

Pada 3 Januari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan tersebut untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda pada mesyuarat akan datang.

Ini berikutan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pada Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Di-pertuan Agong (YDPA) terdahulu.

Berikutan itu, Umno mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan sebagai menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib.

Menurut Hassan, meskipun beliau mempunyai pandangan peribadi sendiri dan pernah menyatakan tidak bersetuju namun pandangan itu tidak boleh menafikan hak ahli keluarga Najib dan penyokongnya dari parti Umno, PAS, Bersatu, Barisan Nasional, MIC, MCA dan Ngo untuk berhimpun seperti dijamin perlembagaan.

Pada masa sama, ujar beliau, polis wajar menghayati semangat Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memahami niat serta tujuan Parlimen pada 2012, semasa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak yang menggubal Akta 736 tersebut untuk memudahkan rakyat berhimpun selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

“Kepada sesiapa yang datang berhimpun esok 6 Januari 2025 secara aman di hadapan Mahkamah Rayuan maka rayakanlah dan nikmatilah hak anda yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,’’ katanya. – 5 Januari, 2025

Topics

 

◉ Hangat

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

Stop pampering the two-wheeled road ruffians! – Ravindran Raman Kutty

For too long, politics pampered road ruffians. Now their menace has matured into road terrorism — and leaders must stop stroking the tiger

Iran women’s football team may stay longer in Malaysia as AFC seeks safe options

The Asian Football Confederation says the Iran women’s national team could remain in Malaysia temporarily while authorities explore safe arrangements, after concerns over the players’ safety following the 2026 AFC Women’s Asian Cup in Australia

◉ Related