HEADLINES

Konsert: Cadangan saringan air kencing libatkan individu timbulkan syak sahaja

Penjelasan itu dibuat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan susulan laporan media berkenaan cadangan pelaksanaan berkenaan yang disyorkan kerajaan negeri

9:55 PM MYT

 

SHAH ALAM – Cadangan pelaksanaan ujian air kencing sebelum memasuki konsert di Selangor hanya melibatkan individu yang menimbulkan syak sahaja, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim.

Beliau berkata cadangan itu sebahagian langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di negeri itu.

“Sebagai contoh, sekiranya terdapat individu yang membawa barangan larangan seperti bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mengambil tindakan sewajarnya.

“Pemain industri tidak perlu bimbang, prosedur operasi standard (SOP) memasuki konsert adalah seperti biasa dan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang, pemantauan perlu diperketat lagi serta kerjasama pihak berkuasa dan PDRM amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penjelasan itu dibuat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan susulan laporan media berkenaan cadangan pelaksanaan berkenaan yang disyorkan kerajaan negeri dan mendapat perhatian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ng berkata kerajaan Selangor mengamalkan dasar progresif dan inklusif serta terbuka mengalu-alukan semua penganjuran konsert hiburan yang sihat di samping mengembangkan industri pelancongan yang memberi impak positif menjana ekonomi negeri.  

“Kami terbuka dengan sebarang maklum balas dan pandangan yang bernas daripada pihak berkepentingan terutamanya penggiat industri demi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara harmoni dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.

Pada Isnin, Ng dilaporkan berkata kerajaan Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung dalam usaha mengelakkan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.

Ia susulan keputusan polis menangguhkan sementara kebenaran permit untuk penganjuran konsert di negeri itu sehingga siasatan kes kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya selesai dijalankan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert terutamanya menghalang elemen jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu setelah laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – 8 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related