HEADLINES

127 warga Palestin akan dihantar pulang dalam tempoh gencatan senjata: Zahid

Penghantaran itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu lepas dan sedang diuruskan Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan

3:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penghantaran pulang 127 rakyat Palestin yang menerima rawatan di Malaysia dijangkakan dalam tempoh gencatan senjata di Semenanjung Gaza, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberitahu penghantaran tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Jelasnya, ia akan diatur oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan dalam tempoh gencatan senjata berkenaan.

“Kita berharap dalam tempoh gencatan senjata ini, penghantaran pulang pesakit-pesakit yang dibawa dari Gaza yang berada di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) dapat dilakukan. Ia sedang diatur (oleh dua kementerian terbabit) untuk dihantar pulang.

“Saya sendiri yang membawa perkara ini pada mesyuarat Kabinet minggu lalu dan kita tidak mahu adanya aksi-aksi dan demonstrasi seperti yang berlaku di WTKL,’’ katanya seperti dilaporkan media.

Beliau berkata demikian pada penutup permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2025 di Balik Pulau, Pulang Pinang, hari ini.

Gencatan senjata di Gaza bermula hari ini diikuti dengan pembebasan tebusan. Proses berkenaan dilihat sebagai membuka jalan bagi kemungkinan berakhirnya perang selama 15 bulan di Gaza.

Pada 16 Ogos 2024, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza dengan pesakit dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.

Bagaimanapun timbul beberapa insiden melibatkan segelintir daripada mereka yang tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan selain mengehadkan perjalanan mereka.

Dua insiden kekecohan telah berlaku iaitu pada Oktober 2024 dan yang terbaru pada 5 Januari lalu melibatkan warga Palestin yang berlaku di WTKL hingga tular di media sosial, berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Susulan itu, Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali memohon maaf bagi pihak warga Palestin.

Dalam pada itu, Zahid berkata kerajaan menerima Walid yang menyesali insiden melibatkan rakyat Palestin di negara ini.

“Kita tahu mungkin mereka berada dalam keadaan tekanan. Mereka telah lama berada di Malaysia dan telah menjalani rawatan dan mereka mohon untuk pulang.

“Jadi, dalam keadaan gencatan senjata ini, adalah masa yang sesuai untuk penghantaran pulang.

“Kerajaan Mesir akan turut membantu menguruskan proses ini, dengan perincian lanjut diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan,” katanya. – 19 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Taib Mahmud: a life of controversies and political intrigue

The diminutive and flamboyant Tun Abdul Taib Mahmud has left an indelible mark on Sarawak and the country, seeing that he was its chief minister for 33 years and later, the governor for nearly a decade.

Related