KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Interpol Manchester sedang mengesan lokasi bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther di United Kingdom (UK) bagi tujuan serahan notis rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah ketika memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, notis permintaan dihantar pada 22 Julai lepas dan pihak Interpol juga telah meminta beberapa butiran tambahan.
Panel tiga hakim itu diketuai Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy.
Menurutnya, Mohd Asnawi, Interpol di Manchester sedang mengumpul maklumat mengenai keberadaan Muhammed Yusoff namun sehingga kini keberadaannya belum dapat disahkan atau percubaan untuk menyerahkan notis kepada responden buat masa ini belum berjaya.
“Oleh itu, mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam masa dua bulan,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Asnawi turut merujuk kepada keperluan menyerahkan notis rayuan secara fizikal kepada responden mengikut Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan di akhir kes pendakwaan tanpa perlu dipanggil membela diri, tahun lepas.
Terdahulu, Mohd Asnawi berkata peguam responden memaklumkan bahawa anak guam mereka bersedia menghadiri pendengaran rayuan itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.
Bagaimanapun, Hakim Azman menegaskan bahawa kehadiran responden secara fizikal adalah diperlukan memandangkan rayuan tersebut membabitkan prosiding kes jenayah.
“Jika kita berikan keistimewaan pada kes ini (hadir secara Zoom), bagaimana dengan kes-kes lain? Kita perlukan kehadiran responden jika mahkamah memutuskan untuk responden membela diri atau sebagainya,” kata hakim itu.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata anak guamnya yang berada di UK sejak Jun tahun lepas bagi memohon suaka hak asasi manusia, bersedia meneruskan pendengaran rayuan menerusi Zoom.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Nov depan untuk sebutan kes.
Pada 12 Jun 2025, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mahkamah berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol serta dadah berkenaan berdasarkan keterangan saksi-saksi.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi, tarikh yang sama, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – 8 Ogos, 2026
