HEADLINES

MyCC siasat 13 kes kartel tipuan bida libat nilai RM2.3 bilion: Armizan

Antara sektor yang terlibat dengan tender tipuan bida ialah perkhidmatan, utiliti, pembinaan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat

4:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang aktif menyiasat 13 kes berhubung dakwaan kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan dengan nilai mencecah RM2.3 billion, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Mendedahkan perkara tersebut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bermula 2024, MyCC menggerakkan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap satu daripada cabang aktiviti kartel sejak sekian lama, iaitu pakatan tipuan bida.

Beliau berkata ikhtiar mengekang aktiviti itu penting, bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan yang telus, sejajar usaha Kerajaan Madani untuk memperkukuh tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Tindakan yang telah diambil kerajaan ke atas syarikat yang melaksanakan amalan antipersaingan, mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran.

“Ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan yang munasabah serta perkhidmatan yang kompetitif, demi kepentingan pengguna,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712), serta jumlah siasatan yang telah membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya bagi tempoh 2014 hingga 2024.

Antara sektor yang terlibat dengan tender tipuan bida ialah perkhidmatan, utiliti, pembinaan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat.

Armizan berkata sejak Akta 712 berkuat kuasa, MyCC sebagai sebuah badan bebas dan separa kehakiman di Malaysia telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 perusahaan yang terlibat dalam pelbagai industri antaranya pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian dan perolehan awam. 

Beliau berkata hasil daripada penyiasatan itu, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 akta tersebut, yang melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan.

“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli. Kesemua keputusan tersebut telah menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Leong mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasakan Akta 712, Armizan berkata kementerian kini dalam proses meminda akta itu khususnya dalam konteks memperkukuh dan memperkemas proses penguatkuasaan serta memperkenalkan Rejim Kawalan Penggabungan.

“Draf pindaan tersebut telah diluluskan Pejabat Peguam Negara (AGC) dan kementerian sedang membuat edaran kepada kementerian-kementerian untuk ulasan. Insya-Allah kita mengharapkan di akhir sesi ini sekurang-kurangnya kita dapat membuat bacaan untuk kali pertama,” katanya. – 6 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

‘It’s unsettling’, Mirzan Mahathir’s family shaken as Cartier, Rolex, among RM1.8mil in valuables stolen from home

Burglars ransacked the family home while daughter was present, leaving the family devastated as police launch a full investigation

Related