◉ HEADLINES

Sultan Selangor tidak setuju cadangan garis panduan Muslim hadir perayaan bukan Islam

Baginda berpandangan cadangan ini dibuat pada waktu yang tidak sesuai ketika rakyat giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum

5:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di Selangor.

Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan ini dibuat pada waktu yang tidak sesuai ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

Titah baginda, polemik yang tercetus ini menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.

“Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,’’ titah baginda menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jemaah Menteri telah memutuskan tidak perlu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.

Perdana Menteri berkata, perkara berkenaan tidak perlu disulitkan dan jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat.

Ia susulan cadangan garis panduan yang menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.

Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.

Pada masa sama, titah baginda, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Baginda bagaimanapun menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah.

“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,’’ titah baginda. – 8 Februari, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

◉ Related