HEADLINES

Santan naik harga: peniaga mungkin terpaksa jual kuih RM1 sebiji

Kenaikan itu sukar dielak kerana selain kelapa dan santan yang mendadak, peniaga juga terpaksa menghadapi kenaikan bahan-bahan mentah yang lain

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Harga jualan makanan di bazar Ramadan tahun ini dijangka meningkat susulan kenaikan harga bahan mentah di pasaran, kata Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia.

Bercakap kepada Scoop, presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman memberitahu jika dahulu harga kuih kebiasaannya dijual pada harga 50 sen sebiji tetapi kini beliau menjangkakan ada peniaga menaikkannya sehingga RM1 sebiji.

Kenaikan itu, katanya, tidak dapat dielakkan kerana peniaga juga perlu menghadapi kenaikan bahan-bahan berkenaan termasuk kelapa dan santan segar.

“Siapa yang nak berniaga dan kemudian mengalami kerugian. Kemungkinan harga kuih akan naik RM1 sebiji menjelang bulan Ramadan ini.

“Ini kerana bukan harga santan sahaja yang naik malah semua barang keperluan mentah membuat kuih dan lauk-pauk pun sudah naik harga.

“Saya harap pengguna memahami dan tidak marahkan golongan peniaga sebab mereka pun dalam keadaan terpaksa untuk naikkan harga,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, media melaporkan harga santan mengalami kenaikan sehingga RM20 sekilogram berikutan harga kelapa import dari Indonesia yang dilaporkan mengalami peningkatan sejak tahun lalu.

Harga sekilogram santan sebelum ini kira-kira RM16. Manakala harga kelapa pula dilaporkan naik dari RM1.80 kepada RM2.80 sebiji sejak September tahun lalu.

Malah media melaporkan harga santan segar naik sehingga mencecah antara RM20 hingga RM22 sekilogram di beberapa negeri termasuk Pahang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Rosli memberitahu, kenaikan harga santan sangat ketara sehingga mencecah RM22 satu kilogram disebabkan pengeluaran kelapa dalam negara yang tidak mencukupi.

“Kalau kita tengok pun harga santan memang mengalami kenaikan yang sangat tinggi disebabkan permintaan yang banyak, manakala penawarannya sedikit sehinggakan negara kita terpaksa mengimport dari negara jiran, Indonesia bagi menampung permintaan tinggi tersebut.

“Disebabkan itu, berlaku kenaikan harga yang mendadak sekali gus membuatkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan mereka pada bazar Ramadan kali ini,” katanya.

Justeru, Rosli mengingatkan pengguna agar sentiasa berbelanja dengan berhemah dan tidak membazir apatah lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mendesak sekarang.

“Saya faham ramai yang akan pergi ke bazar sebab tidak sempat nak masak, jadi saranan saya pastikan anda berbelanja dengan membeli makanan dalam kuantiti yang kecil untuk mengelakkan pembaziran.

“Sekiranya sebelum ini mereka beli sampai lima biji kuih karipap untuk berbuka, mungkin selepas ini dah boleh kurangkan kepada tiga sahaja.

“Beli yang perlu sahaja, sebab kadang-kadang dalam tak sedar banyak pembaziran berlaku selepas waktu berbuka, tak makan apa yang dibeli,” katanya. – 23 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related