HEADLINES

Sin Chew beri penghormatan kepada Jalur Gemilang di muka hadapan

Langkah itu adalah susulan kesilapan pada 15 April di mana presiden Kelab Akhbar Kebangsaan menyeru supaya kesilapan tidak disengajakan itu dimaafkan

1:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sin Chew Daily akan memaparkan Jalur Gemilang di muka hadapan akhbar itu sebagai langkah yang disifatkan sebagai mengakui kesilapan dan memulihkan kepercayaan orang ramai susulan insiden bendera kebangsaan yang tular baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Kuik Cheng Kang, keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran dan mengambil pengajaran daripada kesilapan yang berlaku.

“Kita harus bangkit dari tempat kita jatuh,’’ katanya kepada Scoop.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan, Datuk Ahirudin Attan, mencadangkan perkara tersebut dalam komentar yang diterbitkan di Scoop, menyeru media khususnya Sin Chew agar menunjukkan semangat patriotisme sebagai tanda keinsafan dan niat baik.

Ahirudin, atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, berkata semua orang terdedah kepada kesilapan dan Sin Chew wajar diberi kemaafan atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Kibarkan Jalur Gemilang di laman media sosial kita. Sin Chew wajar memimpin dengan meletakkan bendera itu di sebelah logo akhbarnya, versi cetakan dan digital,” tulis Ahirudin, yang juga Pengarah Eksekutif Big Boom Media, yang menerbitkan Scoop.

Kenyataan beliau dibuat selepas kritikan hebat terhadap imej Jalur Gemilang yang disiarkan oleh Sin Chew dalam edisi cetak bertarikh 15 April, yang didapati tidak memaparkan lambang bulan sabit, satu kecuaian yang dianggap tidak menghormati dan tidak boleh diterima.

Imej tersebut mengiringi laporan utama mengenai lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping.

Berikutan itu ia menerima daripada pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sin Chew kemudiannya menjelaskan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada masalah teknikal tidak disengajakan melibatkan imej yang dijana oleh AI.

Akhbar itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan memaklumkan tindakan tatatertib telah diambil terhadap kakitangan yang terlibat. Protokol editorial juga telah diperbaharui, khususnya berkaitan penggunaan alat AI.

Pada 17 April, ketua pengarang dan timbalan ketua penyunting Sin Chew telah ditahan polis untuk siasatan, di mana pegawai polis turut merampas komputer dan bahan dari pejabat akhbar tersebut. Kedua-dua individu kini telah dibebaskan dengan jaminan polis. – 23 April, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related