KUALA LUMPUR – Pendekatan diplomatik diambil kerajaan Malaysia yang tidak cenderung untuk bertindak balas secara agresif terhadap tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai langkah tepat.
Bercakap kepada Scoop, pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, namun Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini perlu menjadi medan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berterus terang mengenai isu tarif AS yang kini berbangkit.
“Perdana Menteri perlu berterus terang kepada rakyat bahawa bukan mudah untuk berurusan dengan pentadbiran Trump (Presiden AS, Donald Trump) ataupun Trump sendiri sekalipun.
“.. dan walaupun Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) baru kembali dari AS dan perbincangan beliau bersama wakil-wakil pentadbiran Trump adalah positif, tapi kita jangan terlampau mengharapkan 24% itu menjadi 10%.
“Kerana Singapura yang juga rakan akrab AS pun tidak mendapat pengurangan 10%, jadi saya anggap base 10% adalah paling minimum.
“Tapi isunya Perdana Menteri perlu berterus terang mengatakan AS mempunyai lebih banyak kelebihan dalam perbincangan dan kelebihan-kelebihan inilah yang perlu dinyatakan oleh Perdana Menteri.
“Apa yang dibincangkan oleh Tengku Zafrul dan kumpulannya, apa yang positifnya (hasil perbincangan) jadi ia perlu diterangkan kepada rakyat,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, penerangan yang jelas mengenai kesan tarif AS perlu dibuat termasuk sama ada akan menjejaskan pendapatan negara mahupun peluang pekerjaan.
“Maklum rintangan-rintangannya, katakan AS tak puashati dengan hak intelektual property yang dikatakan kita mengabaikannya.
“Jadi adakah ini akan digunakan sebagai leverage oleh AS, ataupun mungkin AS suruh kita kurangkan perdagangan dengan China.
“Adakah ini juga akan digunakan seperti Presiden Xi Jinping memberi amaran, ini perlu diterangkan supaya rakyat memahami kekangan rundingan yang dilakukan,” katanya.
Bagi pakar ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai, beliau berharap Malaysia akan terus mengekalkan pendirian perdagangan berkecualinya selain terus memperjuangkan produk eksport utama negara terutamanya semikonduktor, elektronik dan minyak sawit.
“Dengan eksport bernilai lebih RM190 bilion ke AS setiap tahun, Malaysia merupakan sumber eksport ketiga terbesar Washington, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sesi rundingan.
“Perdana Menteri berjaya menangani persaingan ekonomi kuasa besar antara AS dan China secara seimbang dengan menggesa integrasi yang lebih baik melalui peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota tanpa memihak kepada negara tertentu.
“Ini jelas dapat dilihat semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini apabila Perdana Menteri walaupun China mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan Asia Tenggara telah menggesa agar multilateralisme diberikan keutamaan.
“Melihat daripada apa yang dikatakan Anwar setakat ini, pengerusi Asean itu telah menunjukkan kepakaran diplomasi beliau dalam mendukung suara Selatan Global tanpa mencabar kuasa besar dan juga kuasa di Utara,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berharap Sidang Khas itu membuahkan perbincangan yang konstruktif, bukan sekadar menjadi medan pertelingkahan wakil-wakil rakyat.
“Saya berbesar hati jika Sidang Khas Dewan Rakyat pada 5 Mei digunakan dengan sebaiknya untuk membincangkan pelan-pelan dan cadangan-cadangan yang bernas daripada kedua-dua pihak.
“Permulaan sidang itu tidaklah dimulakan dengan pendekatan terpekik dan terlolong seperti yang kita lihat dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini. Gunakan ruang ini untuk memperlihatkan kematangan dan ketepikan perbezaan politik,” katanya.
AS mengumumkan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Dalam konteks Asean, jumlah tarif yang dikenakan terhadap Malaysia lebih rendah berbanding beberapa negara lain seperti Vietnam (46%), Kemboja (49%), Laos (48%), Myanmar (44%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%) dan Filipina (18%).
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024. AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara. – 2 Mei, 2025

