HEADLINES

3 gajah maut dilanggar tahun ini: Tragedi anak gajah ‘peringatan kuat’ untuk lindungi haiwan liar, kata Nik Nazmi

Beliau berkata hampir 5,000 insiden konflik manusia-gajah direkodkan dari 2020 hingga 2024 dengan kerugian sekitar RM39 juta, dan menyeru kerajaan-kerajaan negeri menggesa pembinaan koridor ekologi

2:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kematian seekor anak gajah dilanggar kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sempadan Gerik- Jeli, memperbaharui kebimbangan mengenai peningkatan risiko kematian akibat dilanggar dan konflik manusia-hidupan liar, terutamanya di habitat utama gajah seluruh Semenanjung Malaysia. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejadian yang berlaku pada 11 Mei itu, memberi peringatan mendalam tentang tekanan yang dihadapi hidupan liar dalam landskap yang semakin terpisah. 

“Kematian seekor anak gajah ini telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.  

“Ia bukan sekadar satu kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam. 

“Khususnya dalam usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah-pisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan 4,919 aduan konflik manusia dan gajah bagi tempoh 2020 hingga 2024. Konflik sama turut merekodkan kerugian harta benda dianggar berjumlah RM39.4 juta. 

Kajian pada 2016 mendapati kawasan keliaran gajah berkurangan 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan. 

JRTB adalah laluan penting merentasi habitat gajah liar antara hutan utama di Perak dan Kelantan. 

Lokasi ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan antara manusia dan hidupan liar khususnya gajah. 

Anak gajah itu dilanggar lori 10 tan yang mengangkut ayam berhampiran sempadan Gerik-Jeli.  

Video menyayat hati memunjukkan ibu gajah cuba menolak lori untuk membebaskan anaknya menjadi tular, meruntun hati dan mengundang bantahan orang ramai. 

Pendekatan terkini dan jangka panjang 

Bagi mengurangkan risiko kejadian serupa, Perhilitan telah melaksanakan pelbagai langkah mitigasi di sepanjang lebih 100km Lebuhraya Timur-Barat. 

Ini termasuk rondaan dan pemantauan berkala di sepanjang jalan berliku, jarak penglihatan rendah, yang telah dikenal pasti sebagai titik panas konflik gajah.  

Tiga Sistem Pagar Gajah Elektrik kekal telah dibina di kampung yang terdedah kepada konflik, termasuk Kampung Bukit Sapi-Kampung Batu Reng, RPS Air Banun, dan Bersia.  

Sementara itu, dua jenut tiruan telah dibina di bawah jejambat ekologi Central Forest Spine yang menghubungkan hutan simpan Temengor, Amanjaya dan Belum di Gerik.  

Pihak berkuasa juga telah memasang 19 papan tanda lintasan gajah, dua papan iklan besar, dan alat pemantauan LED untuk memberi amaran kepada pemandu tentang pergerakan gajah.  

Lampu jalan telah diletakkan di 16 tempat berisiko tinggi, dengan lapan lagi lokasi dikenal pasti untuk pemasangan. Tujuh  lokasi baharu bagi pemasangan papan tanda amaran lintasan hidupan liar. 

Perhilihan juga membuat hebahan melalui media sosial, video pendek dan poster lintasan gajah semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna JRTB mengenai tindakan keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah. 

Kementerian juga menjalankan program  kesedaran awam ke arah kewujudan bersama pemegang taruh termasuk pengguna jalan raya JRTB supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan kehadiran gajah di sepanjang JRTB. 

Pembinaan lintasan hidupan liar atau dikenali sebagai ‘viaduct’ sepanjang 200 meter di kilometer 157 Gerik – Jeli telah dibina dengan kos RM26 juta pada tahun 2015, hasil kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dibawah inisiatif projek Central Forest Spine. 

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata penyelesaian jangka panjang memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh antara kerajaan persekutuan dan negeri, memandangkan hidupan liar dan hutan berada di bawah bidang kuasa negeri.  

Beliau menggesa negeri supaya mewujudkan koridor ekologi untuk menghubungkan habitat gajah, termasuk di ladang atau tanah persendirian. 

Beliau juga mencadangkan pengusaha ladang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mewujudkan koridor mini di dalam ladang dan menanam sumber makanan semula jadi untuk mengurangkan pergantungan gajah kepada tanaman komersial.  

Dalam jangka panjang, santuari gajah sekurang-kurangnya 10,000 hektar harus didirikan di negeri-negeri utama.  

Lampu jalan juga perlu dipasang di titik lintasan utama gajah untuk meningkatkan penglihatan bagi pemandu. 

Nik Nazmi berkata, walaupun kerajaan persekutuan boleh menerajui dasar dan pelaksanaan, kejayaan usaha mitigasi bergantung kepada tanggungjawab bersama daripada semua pihak berkepentingan – termasuk pemilik ladang, pemaju, masyarakat tempatan dan pengguna jalan raya. 

“Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan insentif Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak tahun 2019 iaitu insentif kewangan tambahan kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan.  

“Sehingga kini, sebanyak RM800 juta telah disediakan termasuk sebanyak RM250 juta pada tahun ini dan kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan EFT bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar termasuk gajah dengan meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan habitat gajah. 

“Pelaksanaan EFT telah menunjukkan keberhasilan di mana sejumlah 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan. Daripada jumlah itu, terdapat peningkatan dari segi keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebanyak lebih 14,000 hektar,” katanya. 

Beliau berkata, sungguhpun begitu, menangani isu ini memerlukan lebih daripada sekadar intervensi kewangan dan teknikal.  

“Kesedaran awam perlu diperkukuh dengan lebih meluas, kerana perlindungan gajah bukan hanya soal konservasi, tetapi juga soal menjaga keseimbangan ekologi dan warisan negara,” katanya.  

Semalam, menteri menjelaskan bahawa sebanyak 2,361 haiwan liar telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh Malaysia sejak 2020, dengan Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 765 kes. 

Perak mencatatkan 478 kematian, diikuti Kelantan (224), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187), lapor Bernama.  Beliau juga menyatakan peningkatan dalam pembunuhan harimau Malaya di jalan raya, tanpa kematian dari 2020 hingga 2022, tetapi satu pada 2023, tiga pada 2024, dan satu lagi telah direkodkan tahun ini. – 13 Mei, 2025 

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related