JOHOR BAHRU – Calon kalah pada pemilihan PKR penggal kali ini tidak akan dipinggirkan sebaliknya akan diangkat bersama-sama dalam membawa perjuangan parti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR berkata, tindakan itu penting demi agenda perjuangan selain kekuatan PKR perlu terus dijaga untuk pembangunan negara.
“Kalau tanya saya mudah. Saya masih pegang ketaatan kepada parti. Bila yang menang, menanglah. Yang tak menang, kalau tanya saya, saya akan pilih yang terbaik saya rangkul.
“Kerana agenda perjuangan ini lebih tinggi, besar dari agenda Anwar. Beberapa bulan lagi (umur) dah masuk 80 tahun jadi kemungkinan Anwar tak ada, lagi besar dari ada. Oleh itu saya nak pastikan ada kekuatan yang kita rangkul,” katanya berucap merasmikan Kongres Nasional PKR di sini malam ini.
Anwar bagaimanapun mengakui terdapat keterlanjuran ketika Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah berkempen dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Sewajarnya kedua-dua pihak tidak menghukum antara satu sama lain dan menganggap keterlanjuran itu adalah satu kesilapan kecil.
“Saya lihat kedua-dua pihak ada terlanjur, jadi jangan hukum antara satu sama lain. Saya sebagai bapa bagi nasihat kepada semua.
“Yang penting kita bersama dan kalau berkawan puluhan tahun, bergelut susah payah bersama dan menderita puluhan tahun, takkanlah dengan apa yang kita anggap kesilapan kecil itu tidak boleh dimaafkan.
“Kalau saya, ikhlas saya maafkan semua,” katanya
Selain itu Anwar turut menegur pihak tertentu dalam parti yang memberi kritikan terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah supaya melihat pengorbanan dilakukan kedua-dua pemimpin itu.
Perdana menteri juga meminta mana-mana pihak yang mengkritik perjuangan Nurul Izzah Anwar dan Datuk Rafizi Ramli untuk memohan maaf atas perbuatan berkenaan.
Beliau menegaskan dua individu berkenaan memberi kekuatan dan perngorbanan besar dalam memperjuangkan KEADILAN.
“Kita boleh tegur, boleh tak setuju tapi percayalah sama ada Rafizi atau Izzah. Yang tegur tu kadang-kadang tak upaya kamu nak saingi pengorbanan mereka berdua.
“Nak tegur, tegurlah tapi jangan lupa bandingkan kekuatan dan pengorbanan mereka. Tak ramai yang boleh tanding. Jadi kalau terlanjur, mohon maaf,” katanya.
Sementara itu, Anwar juga secara terbuka memohon maaf kepada jentera dan ahli parti kerana mengakui kurang memberi perhatian terhadap pengukuhan dalaman parti sejak memegang jawatan nombor satu negara selama hampir tiga tahun lalu.
Menurut beliau, keutamaannya selama ini lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran negara dan usaha membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.
“Saya harus mohon maaf, sepanjang hampir tiga tahun menjadi Perdana Menteri saya paling kurang mengambil berat soal keutuhan parti,” katanya. – 24 Mei, 2025

