◉ HEADLINES

Shahrul Ikram dilantik Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar ini pernah ditauliah sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, AS

1:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) kepada Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob hari ini.

Watikah pelantikan Muhammad Shahrul Ikram yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar berlangsung di Istana Negara, demikian menurut Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Istiadat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Muhammad Shahrul Ikram dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Feb lepas.

Muhammad Shahrul Ikram anak kelahiran Pahang, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi daripada Universiti Malaya, serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, Amerika Syarikat.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar pada tahun 1988 dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar dari 6 Jan 2019 hingga 31 Mei 2022.

Sepanjang perkhidmatan selama kira-kira 35 tahun dalam perkhidmatan awam, Muhammad Shahrul Ikram pernah ditauliahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.

Semasa berkhidmat di Kementerian Luar, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia (semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2015) dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.

Penugasan diplomatik beliau yang lain sebelum ini termasuk perwakilan Malaysia di Vienna, Austria; Washington D.C., Amerika Syarikat dan Beijing, Republik Rakyat China. – 3 Jun, 2025

Topics

 

◉ Hangat

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

Cops on manhunt for suspects who murdered college student in Cyberjaya

Sepang police confirm incident happened today, involving 20-year-old female victim

◉ Related