HEADLINES

Penyelewengan dana sukuk lebuh raya: SPRM sita aset RM143 juta

Azam berkata hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram

8:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti sejumlah aset dan harta sitaan bernilai RM143 juta melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, dipercayai milik seorang kenamaan bergelar Tan Sri, sepanjang operasi yang dijalankan sejak minggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat hari ini sitaan itu membabitkan 14 akaun milik pemegang konsesi terbabit berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta), serta sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta, selain 13 buah kereta yang masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

SPRM turut menyita jam tangan mewah bernilai RM25 juta, tas tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat ekor kuda (RM400,000), minuman keras mewah (RM3 juta), aset luar negara yang dianggarkan bernilai lebih RM15 juta serta aktiviti perjudian yang dipercayai mencecah RM20 juta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati penyelewengan itu berlaku antara 2016 hingga 2020, membabitkan dana sukuk yang diluluskan kira-kira RM1.35 bilion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta, selain pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu juga gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Siasatan turut menumpukan kepada isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu mengalirkan wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi, lapor Bernama.

Azam berkata hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak yang terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis.

“Sehingga kini, SPRM belum mengambil keterangan Tan Sri terbabit kerana beliau masih dirawat di sebuah hospital swasta dab hari ini pegawai penyiasat akan mendapatkan pengesahan doktor berhubung status kesihatan beliau sebelum merakam keterangannya.

“Jumlah saksi juga masih kekal 45 orang dan sebahagian daripada mereka dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam berkata pasukan siasatan sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam dan luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Menurutnya, siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah dalam simpanan kenamaan itu, dengan kemungkinan wang berkaitan telah dipindahkan ke akaun lain.

Katanya notis pengisytiharan harta telah diserahkan kepada Tan Sri terbabit serta pihak yang berkaitan. – 4 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

China break up Olympic champions to groom future stars

Olympic gold medallist Jia Yi Fan now partners Zhang Shu Xian in a bold move to mentor rising talent, as China strengthen their grip on women’s doubles badminton

Related