HEADLINES

Tahanan rumah pernah dilaksanakan, jadi jangan kelirukan kami: Shafee

Peguam Datuk Seri Najib merujuk kepada duluan atau ‘precedent’ dalam kes pembunuhan melibatkan Kenneth Lee, menggunakan peruntukan dalam Akta Penjara

10:55 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Titah Adendum Agong yang memberikan peluang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah mungkin sesuatu yang luar biasa tetapi ia bukan sesuatu yang dilakukan tanpa duluan atau ‘precedent’.

Oleh itu mereka yang ingin mengekalkan Najib di penjara tidak seharusnya mengelirukan orang ramai, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Memetik kes cucu Tun H.S. Lee, Kenneth Lee Fook Mun yang disabitkan dengan kesalahan membunuh Linda Lee Good Yew berikutan kemalangan 24 tahun lalu, Shafee menjelaskan Kenneth pada mulanya dijatuhi hukuman mati.

Selepas menerima pengampunan diraja daripada Agong, Kenneth, yang merupakan anak guam Shafee, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup.

“Selepas ibu Kenneth meninggal dunia, bapanya, yang tidak sihat, tidak mempunyai sesiapa untuk menjaganya. Arahan akhir (pengampunan) adalah tahanan rumah.

“Jadi dia dikenali sebagai penerima Titah Adendum yang sama dan menghabiskan baki hukuman di rumah,’’ kata Shafiee ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama.

Ia diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (dua dari kiri) memegang kemeja-t Scoop, bergambar bersama hos podcast Trick Lama: Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez (dua dari kanan), Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (kiri). – Gambar Scoop, 17 Januari, 2025

Ketika terdapat perbahasan bahawa undang-undang tempatan perlu dipinda untuk pelaksanaan tahanan rumah, Shafee menjelaskan peruntukan undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk menguatkuasa Titah Adendum itu.

Secara khusus, Shafee mengetengahkan Seksyen 43, Akta Penjara 1995, yang membenarkan Komisioner Jeneral Penjara membebaskan banduan dengan lesen di bawah syarat tertentu.

Keadaan ini, kata Shafee “boleh termasuk menjalani baki hukuman penjara dari rumah mereka.

“Jadi seseorang cuba menarik perhatian kita dengan menyatakan Seksyen 43 adalah tertakluk kepada peraturan.

“Mereka lupa peraturan itu telah diluluskan pada tahun 2000: Peraturan 111 Pelepasan Banduan Secara Lesen.

Shafee tidak menamakan mereka yang berhujah bahawa Seksyen 43 tidak boleh digunakan untuk meletakkan Najib di bawah tahanan rumah sebaliknya bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Backer sebelum ini menyatakan Akta Penjara boleh digunakan dalam kes sedemikian. 

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 71, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Pada April 2024, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namun telah ditolak.

6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosidang semakan kehakiman berhubung kewujudkan Titah Adendum itu. – 17 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related