HEADLINES

Facebook, TikTok, Youtube turunkan 159,518 kandungan judi, buli, berita palsu : Fahmi

Jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 174,473 kandungan dalam talian yang dimohon untuk diturunkan sepanjang tahun ini

3:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Platform media sosial Facebook, TikTok dan YouTube bersetuju menurunkan 159,518 kandungan berkaitan aktiviti perjudian, penipuan dalam talian, buli siber serta penyebaran berita palsu setakat semalam.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia adalah sebahagian daripada keseluruhan 174,473 kandungan dalam talian yang dimohon untuk diturunkan sepanjang tahun ini.

“Daripada jumlah yang saya nyatakan tadi, kira-kira 160,000 kandungan telah berjaya diturunkan, dengan 51% daripadanya melibatkan aktiviti perjudian dalam talian, 25% berkaitan penipuan dalam talian, 12% membabitkan buli siber dan sembilan peratus lagi penyebaran berita palsu.

“Daripada jumlah tersebut, 57% melibatkan platform Facebook, 28% di TikTok dan 13% di YouTube.

“Selebihnya melibatkan platform lain dalam jumlah yang lebih kecil, namun ketiga-tiga platform ini mewakili hampir 95% daripada keseluruhan masalah yang kita kenal pasti dalam media sosial,” katanya, lapor Bernama.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi (KK) di Menara Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, walaupun tindakan menurunkan kandungan seumpama itu telah dilaksanakan, masih terdapat kebimbangan terhadap kewujudan kandungan eksploitasi kanak-kanak dalam talian, khususnya di Facebook.

“Maka saya tertanya-tanya, adakah undang-undang dan tahap kerjasama sedia ada sudah mencukupi, atau kita perlu pendekatan yang lebih strategik dan efisien untuk menangani isu ini.

“Kita sedia maklum bahawa pada penghujung tahun lalu, operasi Op Pedo Bersepadu telah dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pelaksanaan pelesenan platform media sosial oleh kerajaan awal tahun ini, Fahmi berkata langkah tersebut bertujuan memastikan platform berkenaan lebih selamat digunakan, terutamanya oleh golongan kanak-kanak.

Katanya usaha kerajaan tidak terhenti di situ apabila Parlimen turut meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 pada Disember lepas, yang bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

“Untuk makluman semua, satu akta baharu iaitu OnSA telah diluluskan di Parlimen, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan kini sedang dalam proses untuk dikuatkuasakan,” katanya. – 12 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Putra Ahmad Merrah teruja berlakon, jadi hero kecil dalam filem Rebel arahan Datuk Awie

Putra Ahmad Merrah atau mesra disapa Merrah berkata, pada awalnya tidak menjangka berpeluang membawakan watak hero, Luka yang diterajui Ben Amir sewaktu zaman remaja di dalam filem itu.

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Related