KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan menaikkan harga petrol RON95, walaupun harga minyak mentah global mengalami kenaikan mendadak akibat ketegangan melibatkan Iran dan Israel.
Menurut Perdana Menteri, meskipun kenaikan harga minyak memberi keuntungan kepada syarikat petroleum negara namun kerajaan berhasrat untuk mengelakkan rakyat daripada terbeban dengan kos bahan api yang lebih tinggi, lapor Bernama.
Harga minyak berubah-ubah. Buat masa ini, ia agak rendah. (Kalau) berlaku kenaikan mendadak, hasilnya bagus untuk Petronas, tetapi ia menjejaskan negara lain. Kita tidak akan menaikkan harga minyak,” katanya.
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Johor, di Johor, hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar menegaskan dasar fiskal, termasuk pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
“Kadang-kadang orang keliru. Contohnya, ada yang kata pisang dikenakan SST. Sebenarnya, pisang yang diimport sahaja. Tapi kita akan jelaskan perkara ini. Yang penting, kita tidak mahu membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya jabatan dan agensi kerajaan menghidangkan buah-buahan tempatan dalam majlis rasmi sebagai usaha menyokong pengeluaran domestik.
“Untuk majlis rasmi atau acara jabatan kerajaan, guna makanan dan buah-buahan tempatan sahaja. Ini boleh dilakukan. Mari kita sokong produk tempatan,” tambahnya.
Kerajaan, katanya, terbuka untuk menyemak semula senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai sekiranya berlaku kekeliruan atau ketidakadilan dalam pelaksanaannya.
Dalam pada itu, berhubung isu SST terhadap institusi pendidikan, Anwar menjelaskan cukai hanya dikenakan ke atas sekolah antarabangsa yang mengenakan yuran melebihi paras tertentu yang tinggi.
Sekolah biasa, sekolah swasta yang kenakan RM10,000 atau RM20,000 setahun tidak dikenakan cukai. Tapi kalau RM60,000 setahun, maka bayar sedikit cukai,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa hasil cukai akan digunakan untuk menampung keperluan rakyat seperti pembinaan sekolah dan penambahbaikan kemudahan kesihatan awam.
“Ke mana sahaja saya pergi, hospital penuh. Banyak sekolah juga perlu dibaiki. Kita perlukan dana, dan dana itu datang daripada cukai, tapi bukan daripada rakyat biasa. Kita sasarkan golongan atasan dan sektor luar,” katanya. – 19 Jun, 2025
