HEADLINES

Konflik Iran-Israel: Negara-negara Arab tutup sementara ruang udara

Antara negara-negara yang menutup sementara aktiviti navigasi di ruang udara mereka termasuk Qatar, Bahrain, Kuwait dan Iraq

9:38 AM MYT

 

ISTANBUL – Beberapa negara Arab bertindak menutup ruang udara mereka buat sementara lewat semalam (Isnin) sebagai langkah berjaga-jaga selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan, Kementerian Luar Qatar mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat ketika situasi serantau semakin genting dan tidak menentu.

Penutupan itu turut diumumkan Jabatan Hal Ehwal Penerbangan Awam Bahrain.

Bahrain mengesahkan penggantungan sementara aktiviti navigasi udara di ruang udara negara itu sebagai tindak balas terhadap perkembangan semasa.

Di Kuwait, Kuwait Airways menggantung semua penerbangan berikutan Direktorat Jeneral Penerbangan Awam mengarahkan penutupan sementara ruang udara negaranya.

Kementerian Pengangkutan Iraq juga menutup ruang udara negara itu termasuk di kawasan selatan. 

Syarikat penerbangan Oman Air dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ia telah menggantung penerbangan ke dan dari Manama, Dubai, Doha dan Kuwait berikutan situasi semasa, serta memberi amaran tentang kemungkinan kelewatan penerbangan di seluruh rangkaiannya. 

Sementara itu, EgyptAir mengumumkan pembatalan perkhidmatan antara Kaherah dan beberapa bandar di Teluk, dan memaklumkan bahawa operasi hanya akan disambung semula apabila situasi keselamatan mengizinkan.

Gelombang penutupan ruang udara berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin.

Serangan itu merupakan tindak balas kepada serangan terdahulu oleh AS pada Ahad yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengumumkan bahawa Israel dan Iran telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata.

“Israel dan Iran telah bersetuju sepenuhnya untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh (dalam tempoh kira-kira enam jam dari sekarang, setelah kedua-dua pihak menamatkan misi akhir mereka yang sedang berlangsung!) selama 12 jam, dan selepas itu, perang akan dianggap tamat!,” kata Trump.

Ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang kemudian mencetuskan serangan balas oleh Tehran. – 24 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

Related