HEADLINES

Masih gunakan kad debit dalam talian? Kad kredit boleh selamatkan anda dari penipuan: pesuruhjaya MCMC

Derek Fernandez menggesa rakyat Malaysia mengurangkan risiko penipuan digital menerusi kempen Internet Selamat MCMC dengan sasaran membendung kes penipuan dan buli siber melalui program yang dijalankan di seluruh negara

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Telefon pintar mungkin memudahkan urusan harian namun ia  tidak direka untuk berfungsi sebagai dompet digital. Dalam urusan pembayaran dalam talian, kad kredit menawarkan lapisan perlindungan yang penting berbanding kad debit yang tidak memiliki kelebihan tersebut.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek Fernandez dalam podcast Scoop Insight baru-baru ini menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap keselamatan dalam talian, bermula dengan mengambil pendekatan yang lebih bijak dalam pembayaran digital.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat MCMC memberikan nasihat utama iaitu elakkan penggunaan kad debit untuk transaksi dalam talian.

“Cuba guna kad kredit berbanding kad debit (untuk pembelian dalam talian),” katanya.

“Saya tahu ramai tidak suka saya kata begini, tetapi alasannya ialah syarikat kad kredit memang memberikan kredit. Dengan kata lain, secara teknikal mereka meminjamkan wang kepada anda dan kerana mereka mendahulukan wang mereka, tahap keselamatan mereka jauh lebih tinggi.”

Derek, yang menjadi tetamu podcast dikendalikan oleh Big Boom Media bersama Ketua Podcasting Podaboom, Shazmin Shamsuddin dan Editor Berita Scoop, A. Azim Idris menjelaskan dalam kes penipuan, pengguna kad kredit kurang berisiko mengalami kerugian kewangan serta-merta.

“Kalau wang itu hilang dan anda kata ‘bukan saya yang lakukan’, satu pertikaian akan berlaku. Tetapi dengan kad debit, wang itu sudah lesap,” katanya.

“Anda akan berada dalam situasi yang menyakitkan. Akaun anda akan kosong, sedangkan dengan kad kredit, akaun bank anda tidak terjejas dan anda hanya akan menerima bil untuk dibayar kemudian.”

Beliau menambah syarikat kad kredit telah melabur banyak dalam analitik tingkah laku dan teknologi pengesanan penipuan untuk mengurangkan risiko. 

Namun, beliau memberi amaran ‘teknologi semakin berkembang, tetapi perlu diingat, tiada jaminan 100% di sini’.

Derek turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar untuk urusan kewangan kerana ia mendedahkan mereka kepada pelbagai kelemahan keselamatan.

“Sayangnya, kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa telefon pintar sebenarnya tidak direka sebagai dompet. Dan walau apa pun yang dikatakan, ia bukanlah dompet.

“Ia direka sebagai alat komunikasi untuk membantu anda membeli. Jadi bila anda bina bangunan dengan 74 pintu, jangan harap boleh simpan emas di dalamnya dengan selamat. Setiap kali anda buka aplikasi, anda sebenarnya membuka satu pintu,’’ katanya.

Beliau turut menggesa pengguna supaya membuka akaun bank berasingan bagi mengurangkan kesan jika berlaku pencerobohan.

“Pergi ke bank dan buka satu akaun, dan larang sebarang pemindahan wang secara elektronik daripada akaun itu. Anda ‘pagar’ akaun tersebut.

“Kemudian anda ada satu lagi akaun dengan had tertentu untuk kegunaan pembayaran digital.

“Dalam situasi paling buruk, jika perisian jahat masuk ke dalam telefon anda dan ‘mengeringkan’ akaun, mungkin kerugian anda hanya sekitar RM3,000 atau RM5,000,’’ kata beliau.

Kempen Internet Selamat

Derek memberikan nasihat ini ketika MCMC sedang mempergiatkan kempen Internet Selamat, iaitu satu inisiatif kebangsaan yang dilancarkan pada Januari lalu bagi menangani ancaman dalam talian yang semakin meningkat, termasuk penipuan, penipuan siber, buli siber dan pengantunan seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

“Kerajaan sedar bahawa masalah ini sangat serius dan bukan hanya di Malaysia. Ia berlaku di seluruh dunia,” katanya.

“Tahun lepas kita telah membuang sekitar 60,000 aktiviti yang disyaki sebagai penipuan dan scam. Dan setakat ini, tahun ini sahaja sudah ada 35,000 cubaan sedemikian.”

Kempen ini, katanya menggunakan pendekatan pelbagai lapisan, dengan kesedaran awam menjadi lapisan pertahanan pertama dan paling penting.

“Lapisan pertama dan paling penting melibatkan anda semua di luar sana ialah sama ada penipuan wang, buli siber, mendorong anda mencederakan diri, atau memujuk anda mengambil dadah – semuanya bermula dengan kemampuan untuk masuk ke dalam fikiran anda dan membiarkan penjenayah memanipulasi anda,’’ tambahnya.

Setakat ini, kempen tersebut telah melatih lebih 33,000 pelajar di 256 institusi pendidikan, termasuk sekolah-sekolah di Bintulu, Langkawi dan Pulau Pinang. Lebih banyak program akan dilaksanakan dalam masa terdekat di peringkat sekolah dan universiti.

“Kita harap dapat libatkan 10,000 buah sekolah.

“Kita libatkan universiti juga… kita telah pergi ke sekolah seperti Sekolah Kebangsaan Kuala Nyala di Bintulu, Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka di Langkawi, Sekolah Menengah Pendidikan Limbong di Pulau Pinang dan sebagainya,’’ katanya.

Beliau berkata, kempen ini memberi penekanan khusus kepada golongan belia kerana mereka paling terdedah kepada buli siber dan penderaan seksual dalam talian, manakala golongan dewasa pula sering menjadi mangsa scam cinta.

“Kita perlu bermula di peringkat sekolah supaya mereka belajar keselamatan dalam talian sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka,” katanya.

Derek turut menyatakan bahawa memahami bagaimana orang mentafsir dan bertindak balas terhadap maklumat dalam talian adalah aspek penting dalam memerangi ancaman digital.

“Setiap orang bertindak balas dengan cara yang berbeza. Saya mungkin kata sesuatu sekarang dan lima atau enam daripada anda akan mentafsirnya secara berbeza daripada maksud asal saya – jadi semua orang memproses maklumat secara berbeza dan bertindak balas dengan cara yang berbeza juga.”

Beliau menegaskan bahawa kempen Internet Selamat ini hanyalah permulaan.

“Kempen ini bersifat nasional dan kami akan terus menjangkau seberapa banyak kumpulan sasaran yang mungkin.” – 15 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related