HEADLINES

Epal dan oren buahan tinggi penggunaan, pengecualian SST ringan beban rakyat

Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata, epal dan oren juadah penting waktu perayaan, mencerminkan peranannya sebagai keperluan harian walaupun diimport

7:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Epal dan oren dikecualikan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana buah-buahan berkenaan tidak boleh ditanam di Malaysia dan ramai rakyat Malaysia membelinya, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata epal dan oren merupakan juadah penting di atas meja makan semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan sambutan Hari Raya, mencerminkan peranannya sebagai keperluan harian walaupun diimport.

“Buah-buahan ini tidak boleh dihasilkan di Malaysia kerana faktor iklim tetapi ia adalah sebahagian daripada buah-buahan dimakan hari-hari bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya semasa sesi TikTok Live Kementerian Kewangan bertajuk “SST Naik, Semua Harga Pun Naik?”, semalam.

Johan menjelaskan walaupun buah-buahan import tertentu seperti strawberi, beri biru dan avokado akan kekal dikenakan cukai di bawah peluasan SST, pengecualian untuk epal dan oren bertujuan untuk meringankan beban kewangan pengguna, memandangkan penggunaannya yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami mahu menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan tetapi pada masa sama, kami menyedari bahawa epal dan oren adalah antara buah-buahan penting dalam kehidupan seharian orang ramai,” katanya.

Beliau berkata buah-buahan tempatan termasuk ‘pisang mas’ yang digunakan secara meluas, tidak tertakluk kepada SST, memastikan kestabilan harga untuk pengguna.

Sebanyak 90 peratus pisang yang dibeli oleh rakyat Malaysia adalah sumber tempatan manakala hanya 10 peratus diimport.

“Menyokong hasil tempatan membantu ekonomi dan memastikan harga berpatutan, harga makanan ringan popular seperti pisang goreng tidak akan terjejas di bawah skop peluasan cukai kecuali jika menggunakan pisang import.

Sementara itu, Johan berkata kerajaan akan mengekalkan kadar cukai sifar ke atas jongkong emas dan barang kemas dengan mengiktiraf kepentingan budaya dan peranannya dalam ekonomi tempatan.

“Emas sering digunakan dalam masyarakat untuk simpanan sebagai cagaran untuk pinjaman dan bagi urusan majlis perkahwinan dan melahirkan anak.

“Oleh itu, kami telah memutuskan untuk mengekalkan kadar cukai sifar kerana kepentingannya dalam masyarakat dan peranannya dalam ekonomi,” katanya.

Johan berkata kerajaan menyasarkan untuk menjana pendapatan tambahan RM10 bilion daripada kutipan SST.

“Kerajaan memilih untuk mengekalkan SST dan bukannya memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana SST meringankan beban pengguna,” katanya. – 27 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related