SHAH ALAM – Tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam kejadian di Putra Heights, 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan menyeluruh dilakukan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Petronas serta pelbagai agensi, dengan mengambil kira semua sudut kemungkinan.
“Siasatan merangkumi dua aspek utama iaitu perbuatan khianat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan unsur kecuaian di bawah Seksyen 285 dan 286 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti menunjukkan elemen terbabit menjadi punca letupan.
“Tumpuan turut diberi terhadap kerja pembinaan lot kedai, penggantian paip pembetung, serta kemungkinan letupan bom atau pembakaran bahan lain.
“Bagaimanapun, semua itu dikenal pasti tidak menjadi penyebab kejadian,” katanya pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, siasatan pihaknya juga mendapati pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian telah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Petronas.
“Iaitu berada di zon penampan dengan jarak 40 meter dari paip gas Petronas.
“Kerja-kerja korekan tanah untuk penggantian paip yang dijalankan kontraktor tidak mengakibatkan gangguan paip Petronas secara langsung kerana keadaan paip fizikal gas Petronas berada di kedalaman 5.6 meter dari paras jalan dan jarak paip Petronas adalah 3.5 meter dari paip kumbahan.
“Tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dijalankan semasa kejadian berlaku dan tidak terkesan sebarang aktiviti sabotaj atau khianat.
“Kerja-kerja penggantian paip kumbahan telah berakhir pada 30 Mac 2025,” katanya.
Tambah beliau, sebelum kejadian berlaku, tiada sebarang petunjuk dari segi bacaan tekanan oleh ‘ Petronas Gas Control Centre’.
“Bacaan tekanan gas di dalam paip adalah normal dan semasa kejadian berlaku, bacaan tekanan gas menurun dengan mendadak.
“Selain itu tiada sebarang sisa bahan letupan dijumpai di kawasan kejadian,” katanya.
Dalam kejadian 1 April lalu, letupan paip gas itu menyebabkan kebakaran dan kemusnahan harta benda dalam skala besar.
Tragedi letupan yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi pada Hari Raya Aidilfitri kedua itu telah menjejaskan seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga.
Sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya.
Selain itu sebanyak 225 buah kenderaan pula mengalami kerosakan. Kejadian menyebabkan seramai 126 individu cedera termasuk ada dirawat di unit rawatan rapi. – 30 Jun, 2025

