HEADLINES

Kegagalan fizikal paip punca letupan gas di Putra Heights: JKKP

Pengarah JKKP berkata, keadaan tanah bawah saluran yang tidak cukup kuat menyebabkan paip menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup

6:17 PM MYT

 

SHAH ALAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan insiden letupan paip bawah tanah di Putra Heights disebabkan kegagalan paip berikutan keadaan tanah di bawah saluran itu yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip.

Pengarah (Bahagian Keselamatan Petroleum) JKKP, Husdin Che Amat berkata, keadaan itu menyebabkan paip menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.

“Hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

“Namun begitu, bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) yang dikenal pasti lembut dan lembap.

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal (physical failure) pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar,” katanya pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip.

“Analisis metalografi menunjukkan tensile overload menjadi punca utama kegagalan.

“Kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile (ductile failure) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran,” katanya.

Tambahnya, lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik.

Katanya lagi, insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di kawasan terbabit menjejaskan keselamatan awam, merosakkan infrastruktur dan menyebabkan gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan.

“Justeru, JKKP menjalankan siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan beberapa agensi lain.

“Antara agensi berkenaan adalah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

“Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas serta pengambilan sampel untuk analisis makmal,” katanya.

Terdahulu, insiden letupan paip gas bawah tanah yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi pada 1 April lalu telah menjejaskan seramai 529 penduduk daripada 118 keluarga.

Sejumlah 235 premis termasuk rumah dan kedai terjejas dengan 87 unit musnah sepenuhnya.

Selain itu sebanyak 225 buah kenderaan pula mengalami kerosakan. Kejadian menyebabkan seramai 126 individu cedera termasuk ada dirawat di unit rawatan rapi. – 30 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related