HEADLINES

Perhimpunan Agung Umno ditunda kepada 26-29 November

Setiausaha Agung Umno berkata, ini berikutan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah

8:21 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tarikh Perhimpunan Agung Umno 2025 yang dijadual pada Ogos ditunda kepada 26 hingga 29 November, berikutan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Pada Mac lalu, Mesyuarat MT Umno menetapkan tarikh Perhimpunan Agung tahun ini adalah dari 20 hingga 23 Ogos depan.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November tahun ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata Umno akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan termasuk pencapaian kepimpinan Umno dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Umno berasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti-parti gabungan untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.

Media sebelum ini melaporkan, Umno sudah menerima surat peletakan jawatan ahli MKT parti itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, pada 31 Mei lalu.

Peletakan jawatan Tengku Zafrul dibuat bagi membolehkan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri itu menyertai PKR.

Menurut Asyraf Wajdi, mesyuarat turut menetapkan MT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan Umno Fasal 20.12.

Asyraf Wajdi berkata Umno turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Umno Perak kerana membantu pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 10 Jun lepas. – 1 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

The North Face bids farewell to Malaysia with 60% clearance sale

Beloved outdoor brand announces closure of its seven retail outlets, leaving fans saddened, with many expressing their feelings on social media

Related