HEADLINES

Petronas Gas komited terhadap penambahbaikan berterusan, terima hasil siasatan Putra Heights

PGB berkata pihaknya menyedari sepenuhnya kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan sistem saluran paip terutama berkaitan aliran gas yang berterusan

5:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd (PGB) menegaskan semula komitmennya terhadap ketelusan penuh, penambahbaikan berterusan, keprihatinan kepada mereka yang terjejas, dan kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa berkaitan.

Dalam kenyataan pada Selasa, syarikat infrastruktur dan utiliti gas itu berkata pihaknya menerima hasil siasatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai kebakaran yang pada 1 April, 2025 di Putra Heights, Selangor.

Menurut PGB sejak kejadian itu, pihaknya telah menggerakkan usaha yang besar untuk memastikan keselamatan awam, menyokong komuniti yang terjejas, dan mengekalkan bekalan gas yang berterusan di seluruh negara.

“Insiden ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah sistem penghantaran gas kami, dan kami menyedari sepenuhnya kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan sistem saluran paip, terutama berkaitan aliran gas yang berterusan melalui rangkaian ini,” jelasnya.

Syarikat itu menjelaskan sistem Penggunaan Gas Semenanjung direka bentuk dengan pelbagai lapisan keselamatan dan daya tahan, disokong oleh pengalaman kejuruteraan dan operasi selama lebih tiga dekad.

“Sistem dan kakitangan kami beroperasi secara berterusan untuk memastikan penghantaran gas yang selamat dan boleh dipercayai ke rumah, industri, dan sektor tenaga negara,” menurut PGB.

Semalam, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengesahkan paip gas yang terlibat dalam insiden letupan di Putra Heights, Subang Jaya memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat berkata sebaliknya hasil analisis makmal mendapati keadaan bahagian bawah paip yang tidak disokong sepenuhnya oleh tanah, dikenal pasti telah lembut dan lembap seterusnya memberi tekanan kepada permukaan paip.

Beliau berkata keadaan tanah yang lemah menyebabkan paip bergerak berulang kali sehingga menimbulkan tekanan berulang dan garis keletihan pada permukaan paip.

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar.

“Analisis metalografi turut menunjukkan lebihan tegangan menjadi punca utama kegagalan dan kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pembentangan laporan siasatan letupan paip gas Putra Heights yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di sini, pada Isnin. – 1 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related