HEADLINES

Tuan Ibrahim terbuka untuk dicabar, ‘saya pun tak undi diri sendiri’

Timbalan Presiden PAS mengalu-alukan lebih banyak pencalonan oleh akar umbi, membuktikan parti itu tidak ketandusan pemimpin

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Atas semangat ukhuwah, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terbuka kepada sebarang cabaran bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti September ini.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden PAS itu berkata beliau mengalu-alukan lebih banyak pemimpin dicalonkan oleh akar umbi PAS, sekali gus membuktikan parti itu tidak ketandusan pemimpin.

“Saya mengalu-alukan pencalonan Datuk Nik Amar oleh Pemuda Pangkalan Chepa dan mana-mana kawasan (yang ingin mencalonkan mana-mana pemimpin).

Kami tiada masalah dalam parti (untuk meraikan pertandingan) dan terbuka kepada semua kawasan.

Secara peribadi, saya tidak pernah mengundi diri sendiri dalam pemilihan parti. Atas semangat ukhuwah yang tinggi, saya menghormati Datuk Nik Amar sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata keterbukaan dalam PAS juga memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya barisan kepimpinan muda ditonjolkan dalam pentadbiran parti di semua peringkat.

“PAS juga tidak ketandusan pimpinan sama ada daripada kalangan profesional, ulama atau amilin parti.

Bahkan saya melihat sudah sampai masanya barisan pemimpin muda ditonjolkan dalam kepimpinan parti di semua peringkat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada muktamar parti akan datang.

Pencalonan itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-53, baru-baru ini.

Cadangan itu dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri dan disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan dewan pemuda kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Amar berkata beliau perlu menunggu surat daripada Jawatankuasa Pemilih Pusat untuk mengetahui sama ada beliau diterima sebagai calon.

“Pencalonan berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Pemilih Pusat untuk dibincangkan.

Sekiranya cukup pencalonan (yang menyokong), maka Jawatankuasa Pemilih akan menghubungi calon yang dicadangkan itu.

Apa pun, perwakilan atau ahli PAS bebas mencalonkan sesiapa sahaja untuk bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan nanti,” katanya.

Nik Amar sebelum ini memaklumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Naib Presiden sekiranya ramai mencalonkannya untuk kekal dalam jawatan tersebut pada pemilihan akan datang. – 2 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Malaysia ranks 13th in Global Peace Index, maintains strong score despite drop

Home Minister Saifuddin Nasution says Malaysia’s consistent peace score was overtaken by improved performances from other nations, including Scandinavian countries

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related