KUALA LUMPUR – Pengamal undang-undang melihat pelantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selaku pemangku Ketua Hakim Negara sebagai satu langkah berisiko yang berpotensi membebankan institusi kehakiman sekali gus mencetus kebimbangan.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, walaupun pelantikan sementara itu sah dari segi undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 9(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, namun beliau mempersoalkan rasional memberikan dua tugas utama kepada satu individu.
“Hasnah masih memegang jawatan Hakim Besar Malaya. Tugas itu sendiri sudah besar tanggungjawabnya. Beliau perlu mengurus semua mahkamah tinggi di Semenanjung, termasuk isu pelantikan, perpindahan dan kenaikan pangkat para hakim.
“Kini beliau juga perlu memikul peranan Ketua Hakim Negara yang bertanggungjawab terhadap Mahkamah Persekutuan serta menyusun panel-panel hakim bagi mendengar kes rayuan tertinggi negara. Beban itu sangat besar,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Keadaan itu menurut Haniff Khatri, berpunca daripada kegagalan kerajaan menyelesaikan pelantikan tetap bagi bukan saja jawatan Ketua Hakim Negara tetapi juga Presiden Mahkamah Rayuan.
“Saya dan ramai lagi pengamal undang-undang sudah lama menyuarakan perkara ini. Sepatutnya pelantikan tetap sudah dibuat sebelum persaraan berlaku. Ini soal tadbir urus kehakiman yang sangat penting,” tegas beliau lagi.
Bercakap mengenai pelantikan kekal yang bakal dilaksanakan, Haniff menegaskan bahawa faktor kekananan dalam kalangan hakim kanan perlu diberi keutamaan selari dengan adat dan konvensyen kehakiman yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Katanya, terdapat beberapa nama Hakim Mahkamah Persekutuan yang layak berdasarkan kekananan, pengalaman, umur dan rekod penghakiman.
Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, antara nama yang disebut.
“Kesemua mereka telah lama berkhidmat dan menulis serta menghasilkan banyak penghakiman dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan.
“Ini bukan soal politik atau populariti. Ini soal sistem kehakiman negara. Kalau kita nak lantik Ketua Hakim Negara, kita kena pastikan integriti dan rekod perkhidmatan hakim itu berada pada tahap tertinggi,” katanya yang berharap kerajaan telus dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kelewatan pelantikan jawatan tertinggi kehakiman ini.
Katanya, pelantikan tidak seharusnya dibuat secara rahsia atau mengejut, sebaliknya perlu menghormati pandangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.
“Ini bukan jawatan politik. Ini jawatan yang menjadi benteng keadilan tertinggi dalam negara. Kita tidak boleh kompromi,” katanya.
Hasnah akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Beliau yang telah bersara wajib pada usia 66 pada 15 Mei lalu disambung perkhidmatannya selama enam bulan hingga 14 November ini.
Sebelum ini jawatan Ketua Hakim Negara disandang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat selama enam tahun sebelum bersara wajib pada Rabu.
Pelantikan Tengku Maimun pada 2 Mei 2019 mencipta sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan itu dalam sejarah Malaysia. – 4 Julai, 2025
