◉ HEADLINES

Perkhidmatan Aerotrain KLIA disambung semula selepas digantung sementara akibat terowong dinaiki air

Perkhidmatanya terganggu sementara akibat masalah teknikal yang dialami pada salah satu pam saliran

5:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi tengah hari tadi selepas digantung sementara akibat hujan lebat yang menyebabkan takungan air dalam sistem terowongnya.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya memberitahu gangguan perkhidmatan Aerotrain bermula pada 11 pagi tadi apabila salah satu pam saliran mengalami kerosakan, menyebabkan air tidak dapat disalirkan secara automatik.

Keadaan ini, katanya menyebabkan air tidak dapat disalirkan secara automatik dan sebagai langkah keselamatan, operasi tren dihentikan sehingga air dikeluarkan secara manual dan landasan disahkan selamat untuk digunakan.

“Sistem saliran terowong kami dilengkapi pam yang direka untuk mengalirkan air semasa cuaca buruk, namun salah satu pam saliran mengalami kerosakan teknikal hari ini semasa hujan lebat,” kata MAHB dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan Aerotrain, katanya, disambung semula pada jam 12.15 tengah hari selepas mendapat kelulusan penuh daripada pasukan teknikal dan keselamatan.

“Kami kini sedang membaik pulih sistem pam bagi memastikan prestasi optimum semasa cuaca buruk pada masa akan datang,’’ katanya.

Menurut Malaysia Airports, perkhidmatan pengangkutan ke terminal satelit tidak terjejas semasa kejadian itu dan penumpang menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik di kawasan udara (airside).

Insiden hari ini merupakan gangguan operasi pertama sejak perkhidmatan Aerotrain kembali beroperasi pada 1 Julai lalu.

Sistem bernilai RM742 juta itu, digantung sejak Mac 2023 disebabkan masalah teknikal dan kini berada dalam peringkat awal perkhidmatan, dengan pihak berkuasa masih memantau prestasi dengan teliti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini berkata bahawa sistem baharu ini telah menjalani ujian ketat, termasuk simulasi tindak balas kecemasan sebelum dibuka semula kepada orang awam.

Aerotrain yang baharu ini menampilkan tren tiga gerabak dengan setiap gerabak mampu menampung sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.

Ia beroperasi pada waktu yang penting memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Asean dan Visit Malaysia Year 2026 yang semakin hampir.

Mengulas lanjut MAHB menegaskan ia kekal komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan boleh dipercayai di KLIA.

“Pasukan teknikal kami terus memantau sistem Aerotrain dengan rapi sepanjang peringkat awal operasi ini bagi memastikan sebarang pelarasan operasi dapat dilaksanakan dengan segera.

“Kami menghargai kesabaran dan kerjasama anda sementara kami menambah baik sistem baharu ini,” katanya. – 4 Julai, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

Inside the Bandar Utama school tragedy: a timeline of the shocking fatal stabbing

A look at the events surrounding the stabbing of a 16-year-old student, with ongoing investigations into the suspect's motives and the role of online violence

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related