HEADLINES

Lebih banyak sesi libat urus diperlukan untuk RUU Pekerja Gig, kata pemain industri sebagai menyokong cadangan Zahid

Pemain industri menyambut baik usaha libat urus tersebut menjelang pembentangan RUU Pekerja Gig pada Ogos atau September

7:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Usaha kerajaan melibatkan semua pihak berkepentingan dianggap satu langkah positif ke arah penggubalan undang-undang komprehensif bagi melindungi pekerja gig selain menggalakkan pertumbuhan berterusan sektor tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama, pemain industri ekonomi gig menyambut baik perbincangan pelbagai pihak yang sedang berlangsung dan menyifatkan pendekatan seumpama itu penting bagi merangka dasar praktikal yang mencerminkan keperluan pekerja gig, platform dan pengawal selia.

Pemain industri tersebut terdiri daripada Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, HaloDelivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood yang secara kolektif menyokong puluhan ribu pekerja gig di seluruh negara.

“Bersama-sama, kita dapat memastikan peralihan yang lancar selaras dengan evolusi bentuk pekerjaan, sambil menjamin perlindungan kepada pekerja dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan, pemerkasaan ekonomi dan kemajuan teknologi dalam ekonomi digital Malaysia.

“Libat urus yang tepat pada masanya ini merupakan langkah penting dalam membina pendekatan kolaboratif untuk membentuk masa depan ekonomi gig Malaysia.

“Kami amat menghargai keterbukaan kerajaan terhadap pandangan industri ketika kita mencari keseimbangan terbaik antara perlindungan untuk pekerja gig dan mengekalkan fleksibiliti, inovasi serta pertumbuhan yang menjadi teras sektor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu juga menegaskan libat urus yang produktif, berlandaskan rasa hormat bersama dan komitmen terhadap kemajuan boleh membantu Malaysia menjadi contoh dalam menggubal dasar moden untuk era digital.

Kenyataan itu susulan cadangan kerajaan untuk mengadakan lebih banyak sesi town hall tidak formal bagi menambah baik proses penggubalan dasar dan memastikan maklum balas industri didengari.

Cadangan itu dibuat susulan sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 1 Julai di Bangi, yang dihadiri oleh pengendali industri gig dan pegawai kanan kerajaan. Mesyuarat itu diadakan sebagai persediaan untuk merangka Rang Undang-Undang Pekerja Gig.

Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), berkata rang undang-undang yang dicadangkan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos atau September.

Ia akan menjadi akta pertama memfokuskan sepenuhnya kepada ekonomi gig, tidak seperti undang-undang di negara lain yang hanya memasukkan peruntukan gig ke dalam kerangka sedia ada.

Turut hadir pada sesi meja bulat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh dan CEO MDEC, Anuar Fariz Fadzil. — 4 Julai 2025

Topics

 

Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related